Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Seramai 45 orang ahli jawatankuasa majlis perundingan kampung (MPK) dan penduduk kampung Kawasan 1, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Meragang, hari ini, telah menyertai dalam aktiviti membersihkan Tanah Perkuburan Orang-orang Islam Angsa di Simpang 185, Jalan Wasai Limuru.
Kempen anjuran MPK Kawasan 1, RPN Meragang itu antara lain bertujuan bagi memupuk kesedaran menjaga aspek kebersihan bukan sahaja di rumah tetapi juga di kawasan kampung, selain memberi kemudahan kepada penduduk kampung datang menziarahi tanah perkuburan berkenaan.
Di samping mengenalkan kepada penduduk kampung Kawasan 1 dan 2 akan lokasi tanah perkuburan yang terdapat di RPN Meragang.
Turut hadir di acara yang julung kalinya dianjurkan oleh MPK berkenaan, Pengerusi MPK Kawasan 1, Awang Mazlan bin Haji Jumat yang juga Ketua Kampung Kawasan 1, RPN Meragang dan Pemangku Penghulu Mukim Serasa, Awang Mohammad bin Haji Tamin juga selaku Ketua Kampung Kawasan 2 RPN Meragang.
Kempen berkenaan diteruskan dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Haji Asman bin Daud.