Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 DIS – Dalam usaha melancarkan projek Santunan Kasih Berserumpun Pencinta Yatim ‘Back To School’ anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Berserumpun Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Mengkubau, Mukim Mentiri bagi Tahun 2024, acara gotong-royong membungkus sumbangan daripada para dermawan telah diadakan hari ini.
Acara tersebut diadakan di kediaman Ketua Kampung Kawasan 4 RPN Kampung Panchor, Mengkubau, Mukim Mentiri, Awang Faidil Rosemady bin Mohamad.
Beliau ketika ditemui antara lain telah mengongsikan bahawa untuk projek kali ini, dianggarkan 30 orang anak-anak yatim yang di bawah tadahan Kawasan 4 akan menerima sumbangan mereka pada 3 Januari 2025.
“Sumbangan berupa keperluan persekolahan ini diterima daripada para dermawan dalam kalangan orang persendirian, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan juga syarikat-syarikat yang prihatin terhadap kebajikan persekolahan anak-anak yatim, selain berkongsi rezeki dengan golongan penerima ini,” jelasnya.
Dengan adanya sumbangan seumpama ini, tambahnya, ianya sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dalam membuat persiapan persekolahan anak masing-masing.