Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Penduduk Kampung Serasa dan Rancangan Perumahan Negara Kampung Serasa serta sukarelawan berganding bahu dalam Kempen Membersih Kubur yang diadakan di kawasan Tanah Perkuburan Kampung Serasa, baru-baru ini.
Kempen yang bermula seawal pukul 7.30 pagi itu dimulakan dengan bacaan doa dan tahlil dipimpin oleh Awang Haji Saedan bin Haji Mohd Said, dan kempen diketuai oleh Ketua Kampung Serasa, Awang Abdurrahman bin Haji Othman serta sukarelawan.
Ketua Kampung Serasa, Awang Abdurrahman menjelaskan, “kita mahu generasi muda memahami bahawa tanah perkuburan bukan sekadar tempat persemadian, tetapi simbol kasih dan penghormatan kepada mereka yang telah pergi”.
“Walaupun nampak kecil, kerja-kerja seperti ini mendidik kita untuk lebih menghargai jasa orang terdahulu dan menjaga persekitaran,” ujarnya.
Aktiviti ini diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun dengan tujuan untuk menjaga kebersihan tanah perkuburan serta menghormati tempat persemadian.
Kempen ini bukan sekadar aktiviti kebersihan malah sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh nilai ukhuwah Islamiah melalui aktiviti bergotong royong mempererat tali persaudaraan di kalangan penduduk kampung dan masyarakat.
Di samping meningkatkan rasa saling menghormati dan semangat bergotong royong untuk saling bantu membantu antara satu sama lain.
Antara aktiviti utama dilaksanakan dalam kempen berkenaan seperti kerja-kerja memotong pokok-pokok dan tumbuhan liar, mencabut rumput yang tumbuh di luar kawasan pagar kubur tersebut.
Sebahagian penduduk kampung yang terlibat adalah generasi muda yang aktif dalam membersihkan kawasan kubur tersebut sebagai tanggungjawab sosial dan simbol amalan kebersihan dan kasih sayang sesama insan dan dianjurkan dalam Islam.
Kempen tersebut diakhiri dengan bacaan doa selamat yang dibacakan oleh Imam Awang Haji Ridi bin Midi.


