Oleh HM Yusof
TUTONG, 29 Jan – Sebagai sebahagian daripada kegiatan kemasyarakatan, Biro Ugama Majlis Perundingan Kampung Sengkarai dan Takmir Balai Ibadat Kampung Sengkarai Tutong telah mengadakan aktiviti memasak bubur kacang hijau beramai-ramai dan mengagih-agihkannya kepada orang ramai.
Hadir menyaksikan aktiviti tersebut selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Pejabat Daerah Tutong, Awang Abdul Kahar Bin Haji Yahya.
Aktiviti berkenaan memberi peluang kepada seluruh warga kampung untuk mempelajari, memahirkan diri dan mendapatkan peluang untuk membuat bubur berkenaan sambil bergotong-royong.
Menurut Pengerusi majlis berkenaan, Haji Hamaffi bin Haji Mohd Yassin, antara tujuan dan hasrat mengadakan projek berkenaan adalah sebagai satu amalan bergotong-royong atau memucang-mucang.
Dengan adanya amalan kebajikan ini, tambah beliau, dapat memberi kesedaran kepada warga kampung terutama generasi masa kini seperti belia-belia akan betapa mustahaknya sesuatu pekerjaan itu dibuat secara bergotong-royong.

Selain itu, menerusi acara berkenaan juga akan menambahkan ilmu baru bagi yang belum pernah mencuba atau memantapkan lagi ilmu yang sedia ada bagi yang sudah biasa memasak bubur sedemikian.
Ia juga dihasratkan untuk memberi peluang kepada warga kampung untuk turut sama bersedekah atau memberikan sumbangan dalam apa jua bentuk.
Majlis diselajurkan dengan penyerahan jersi pasukan bola di bawah umur 16 tahun bagi mewakili Persatuan Melayu Sengkarai (PMS) Daerah Tutong.
Di akhir majlis, tetamu kehormat dibawa menyaksikan pengagihan bubur tersebut kepada pengguna jalan raya dari Pantai Seri Kenangan ke Pekan Tutong.