Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 13 JULAI – Sebagai usaha berterusan melindungi komuniti tempatan, Majlis Perundingan Kampung (MPK) PN Panaga A telah melaksanakan kempen proaktif penebangan pokok dan pembersihan kawasan di sepanjang Jalan Likap pada pagi ini.
Aktiviti yang bermula seawal jam 6:30 pagi itu menyaksikan ahli-ahli MPK menebang pokok yang mula menghalang jalan utama.
Inisiatif itu diambil sebagai langkah pencegahan untuk menghapuskan risiko berpotensi yang timbul kepada pengguna jalan raya dan pejalan kaki.
Selain menebang pokok, sukarelawan turut membersihkan sampah yang bersepah di seluruh kawasan tersebut.
Menurut Ketua Kampung PN Panaga A, Awang Nurzairie bin Abdullah Peter, inisiatif itu juga mencerminkan usaha kerjasama masyarakat dalam menyokong langkah kerajaan menjaga keselamatan dan kebersihan dalam kampung.
“Semangat gotong-royong ini amat penting dalam memupuk kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama untuk menjaga kebersihan alam sekitar kita,” katanya.
Beliau juga menambah MPK PN Panaga A juga bercadang untuk menjalankan pemantauan secara berkala ke atas kampung dan mengambil tindakan awal untuk mencegah sebarang kejadian tidak diingini daripada berlaku.

