KUALA LUMPUR, 31 MEI – Pelumba Moto2 Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah mendedikasikan kejayaan beliau menamatkan perlumbaan di tempat kesembilan di Grand Prix (GP) Itali semalam, yang merupakan kedudukan terbaiknya musim ini, kepada mendiang Jason Dupasquier.
“Ini untuk Jason, yang meninggalkan kita semua sebelum perlumbaan bermula,” kata Hafizh menerusi satu video.
Pelumba Moto3 berusia 19 tahun dari Switzerland meninggal dunia, selepas mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan melibatkan beberapa pelumba ketika sesi kelayakan di Sirkit Mugello, pada Sabtu, seperti diumumkan MotoGP sebelum perlumbaan itu semalam.
Walaupun memulakan perlumbaan dari tempat ke-20, pelumba NTS RW Racing GP itu, melakukan tungganggan cemerlang untuk memintas seorang demi seorang pelumba, untuk berada di tempat kelapan pada pusingan terakhir. – Bernama