SEPANG, 16 OKT – Ketiadaan juara dunia tujuh kali MotoGP, Marc Marquez, yang terpaksa disisihkan akibat kecederaan, tidak akan menjejaskan kehangatan Grand Prix Motosikal Malaysia (GP Malaysia) 2025, yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 Oktober ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Selain penampilan sulung pelumba muda berbakat Malaysia, Muhammad Hakim Danish Ramli dalam kelas Moto3, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif tetap optimis bahawa GP Malaysia 2025 akan terus menjadi tumpuan memandangkan persaingan merebut gelaran naib juara dunia MotoGP musim ini masih berlangsung dengan sengit.
“Pertarungan bagi merebut tempat kedua masih terbuka, kita ada Pecco (Francesco Bagnaia) dekat situ, Marco Bezzecchi dan Alex Marquez.
“Jadi, saya berharap meskipun tanpa kehadiran Marquez, sokongan daripada para penonton tetap utuh,” katanya pada majlis pelancaran pasukan dan jentera AEON Credit SIC Racing MSI yang diwakili Hakim Danish, semalam.
Media melaporkan, Marquez disahkan terlepas GP Australia bermula esok hingga 19 Okt dan GP Malaysia selepas mengalami patah tulang serta kecederaan ligamen pada bahu kanan dalam kemalangan di GP Indonesia 5 Oktober lepas.
Pelumba berusia 32 tahun itu, yang mewakili Ducati Lenovo Team, mengesahkan kejuaraan MotoGP ketujuhnya di GP Jepun bulan lepas dan mengumpul 545 mata setakat ini.
Berbaki empat perlumbaan musim ini, adiknya Alex Marquez yang beraksi untuk pasukan BK8 Gresini Racing MotoGP, kini menduduki tempat kedua dengan 362 mata meninggalkan pencabar terdekat serta juara dunia MotoGP dua kali iaitu Bagnaia dari Ducati Lenovo Team di tempat ketiga (274 mata) manakala Bezzecchi yang mewakili Aprilia Racing berada di kedudukan keempat dengan 254 mata.
Dalam pada itu, Hakim Danish pula bakal beraksi menerusi tiket wildcard bagi saingan Moto3 untuk pasukan AEON Credit SIC Racing MSI. – Bernama


