Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    GP Malaysia tarik lebih 184,000 pengunjung

    SEPANG, 4 NOV – Kejuaraan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia 2024 berlangsung dari 1 hingga 3 November telah menarik lebih 184,000 penonton menyaksikan perlumbaan berprestij itu di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

    Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata meskipun jumlah itu tidak menepati sasaran 200,000 pengunjung, ia tetap mengatasi angka tahun lepas seramai 182,912 penonton.

    “Ia merupakan hari yang sangat gembira bagi saya, walaupun kita tak capai 200,000 orang seperti yang disasarkan, kita masih berjaya catat 184,923 pengunjung iaitu hampir 185,000.

    “Apa yang saya dapat simpulkan, semuanya telah berjalan dengan selamat, kita punya pemegang taruh gembira dengan pencapaian ini,” katanya kepada pemberita selepas berakhir GP Malaysia kelmarin.

    Beliau berkata lebih menggembirakan, edisi kali ini turut menerima kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali pertama hadir menyaksikan perlumbaan itu.

    Apatah lagi penjualan tiket Rahmah berharga RM49.90 menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai, tambah Azhan.

    “Ramai orang membeli tiket K2 Hillstand, walaupun tak berbumbung dan tak ada tempat duduk, orang ramai tetap nak beli tiket dan kita nampak, hari ini (semalam) ramai di K2 Hillstand, terima kasih kepada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) yang telah banyak menyokong kami,” katanya. – Bernama

    Aksi Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo Team mengemudi motosikalnya ketika mendahului perlumbaan MotoGP di Sepang, Kuala Lumpur pada 3 November. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda