PARIS, 12 OKT – Penganjur bagi perlumbaan sulung Grand Prix Miami Formula Satu (F1) yang bakal dilangsungkan tahun hadapan berkata litar tersebut mempunyai ‘laluan memintas luar biasa’ untuk menghasilkan perlumbaan yang akan ‘menjadi sedikit berbeza’.
Pengarah bersama, Tom Garfinkel turut berkata dalam temu bual bersama AFP dia berharap perlumbaan di Florida akan menarik penonton AS yang baharu.
Litar tersebut dibina di sekeliling kompleks Stadium Hard Rock, gelanggang bagi pasukan NFL, Miami Dolphins.
“Kami berusaha untuk menghasilkan litar perlumbaan yang mempunyai beberapa laluan memintas agar dapat menjangkakan perlumbaan yang menarik,” ujar Garfinkel.
“Kami berharap perlumbaan akan sedikit berbeza.”
Perlumbaan Miami yang dijadualkan bakal dilangsungkan pada 8 Mei akan menjadi perlumbaan kedua di Amerika Syarikat (AS) selepas Austin dan menunjukkan impian pemilik F1, Liberty Media untuk mengembangkan sukan tersebut di AS.
“Saya mengetahui mengembangkan pasaran di AS adalah sebahagian besar agenda F1 pada masa ini,” kata Garfinkel.
“Setentunya banyak minat yang ditunjukkan, dari penaja korporat serta peminat perlumbaan dan mereka yang ingin merasai pengalaman F1 di AS.”
Garfinkel berkata 200,000 orang telah meluahkan minat untuk membeli tiket, suku daripadanya adalah dari luar AS, meskipun kapasiti dijangka terhad kepada kira-kira 80,000 ketika perlumbaan sulung Miami. – AFP