DEUX-SÈVRES, 11 NOV – Seorang lelaki warga emas berusia 85 tahun di Perancis yang tidak mempunyai sejarah masalah ingatan atau kekeliruan arah telah tersesat sejauh 1,500 kilometer ke sebuah negara lain akibat terlalu bergantung pada sistem GPS ketika dalam perjalanan ke klinik doktornya.
Berdasarkan laporan Oddity Central, Insiden luar biasa itu berlaku minggu lalu apabila lelaki tersebut, yang tinggal di Châtillon-sur-Thouet, sebuah komun di barat Perancis, cuba memandu ke klinik doktornya di Airvault, komun bersebelahan yang terletak kira-kira 19 kilometer dari rumahnya.
Namun, lelaki berkenaan tidak pernah sampai ke destinasi temu janji perubatannya.
Keluarganya mula bimbang hanya selepas dia gagal menghadiri mesyuarat sebuah persatuan yang disertainya.
Apabila masa berlalu tanpa sebarang khabar, keluarga dan jiran-jiran mula panik lalu menghubungi polis untuk melaporkan kehilangannya. Polis kemudiannya meminta bantuan tentera bagi mengesan lokasi telefon bimbit lelaki tersebut.
Keluarganya bimbang sesuatu yang buruk telah berlaku, namun mereka tidak menyangka jawapan yang diterima daripada pihak berkuasa iaitu lelaki itu ditemui berada di sebuah hotel di Croatia, kira-kira 1,500 kilometer dari rumahnya.
Dia dilaporkan telah memandu selama hampir 20 jam, melalui Itali sebelum tiba di negara Eropah Selatan itu.
Apabila ditanya bagaimana dia boleh sampai sejauh itu, lelaki berusia 85 tahun tersebut hanya berkata bahawa dia “tidak faham apa yang telah berlaku,” sambil menjelaskan bahawa perjalanan panjangnya itu berpunca daripada masalah pada GPS.
Menurut laporan Ici Poitou, walaupun usianya lanjut, warga emas berkenaan tidak pernah dilaporkan mengalami masalah daya ingatan atau kekeliruan arah.
Keluarganya kini telah pergi ke Croatia untuk membawanya pulang dan pastinya dia akan mempunyai kisah perjalanan yang cukup luar biasa untuk diceritakan. – Agensi


