Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Grab Holdings kurangkan 1,000 pekerjaan

    HONG KONG, 21 JUN – Firma pengangkutan Grab Holdings di Singapura menyatakan bahawa mereka akan mengurangkan lebih 1,000 pekerjaan atau 11 peratus daripada tenaga kerjanya untuk mengurangkan kos dan memastikan agar syarikat itu berdaya saing, dalam pengurangan pekerjaan terbesar mereka sejak wabak pandemik.

    Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan menyatakan dalam surat yang dihantar kepada pekerja lewat kelmarin bahawa pengurangan pekerjaan tersebut bukanlah jalan pintas kepada keuntungan tetapi sebahagian daripada penstrukturan semula asas model operasi dan kos yang mendasar.

    “Matlamat utama latihan ini adalah untuk menyusun semula diri kami secara strategik, supaya kami boleh bergerak lebih pantas, bekerja lebih bijak, dan mengimbangi semula sumber kami merentasi portfolio kami mengikut strategi jangka panjang kami,” kata Tan, sambil menggambarkan penyusunan semula sebagai langkah yang menyakitkan tetapi perlu untuk jangka panjang.

    Saham Grab di NASDAQ meningkat lebih daripada 5 peratus dalam perdagangan prapasaran, tetapi merosot hampir 1.5 peratus tengah hari.

    Syarikat yang berpangkalan di Singapura itu bermula sebagai perkhidmatan tambang teksi di Malaysia pada 2012, sebelum kemudian meluaskan perniagaannya kepada perkhidmatan pengangkutan, penghantaran makanan dan kewangan di lapan negara di Asia Tenggara, termasuk Indonesia, Malaysia dan Filipina.

    Pada 2018, ia memperoleh saingan operasi Uber di Asia Tenggara selepas beberapa tahun terlibat dalam perang harga untuk merebut bahagian pasaran.

    Grab lebih perlahan dalam mengurangkan pekerjaan berbanding perusahaan teknologi lain di kawasan tersebut. Syarikat itu pada mulanya berkata pada September lalu bahawa ia tidak mempunyai rancangan untuk melakukan pengurangan pekerjaan secara besar-besaran. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda