Thursday, May 1, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Grab sambut perniagaan Uber

    SINGAPURA, 26 Mac – Uber telah menjual perniagaan Asia Tenggara kepada pesaing Grab hari ini, mengakhiri persaingan antara syarikat gergasi perkhidmatan teksi dan menandakan pengunduran terbaharu firma Amerika Syarikat (AS) daripada pasaran antarabangsa.

    Grab yang berpangkalan di Singapura sedang mengambil alih operasi perkhidmatan teksi dan penghantaran makanan Uber di rantau, dengan syarikat yang beribu pejabat di California itu menerima saham sebanyak 27.5 peratus dalam perniagaan sebagai tukaran.

    Penjualan adalah pengunduran terbaharu Uber daripada pasaran di mana ia telah menghadapi persaingan sengit, tatkala ketua eksekutif baru Dara Khosrowshahi berusaha mengawal kerugian besar dan mengatasi beberapa siri skandal.

    Selepas persaingan sengit, Uber menjual operasinya di China kepada pesaing Didi Chuxing pada 2016 sebagai tukaran kepada satu saham, dan pada tahun lalu firma AS itu bergabung di Rusia dengan syarikat gergasi aplikasi perkhidmatan teksi Internet Yandex.

    Gambar menunjukkan aplikasi tempahan Grab menerusi telefon pintar di Singapura. Grab mengumumkan semalam yang ia telah membeli perniagaan Uber di Asia Tenggara dan mengakhiri persaingan antara dua firma itu. – AFP

    Perjanjian dengan Grab, yang beroperasi di lapan negara-negara Asia Tenggara adalah sama dengan perjanjian yang dicapai dengan Didi dan menamatkan satu persaingan untuk mendapatkan pasaran saham di sebuah rantau yang menjadi tempat tinggal kepada kira-kira 650 juta orang dan kelas pertengahan yang mewah.

    “Pemerolehan hari ini menandakan bermulanya era baharu,” kata ketua eksekutif Grab Anthony Tan.

    “Gabungan perniagaan adalah pendahulu dalam platform dan kecekapan kos di rantau.”

    Khosrowshahi, yang menyertai lembaga Grab sebagai sebahagian daripada perjanjian, berkata: “Perjanjian ini adalah bukti pertumbuhan Uber di seluruh Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun lalu. Ia akan membantu kami menggandakan rancangan kami untuk pertumbuhan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda