Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    GrabCar-Perodua meterai MoU

    KUALA LUMPUR, 31 Mei – Langkah Grab Malaysia memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Perodua Sales Sdn Bhd (Perodua) bakal memberi manfaat kepada para pemandu GrabCar menerusi penawaran perkhidmatan nilai tambah berkaitan.

    Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Datuk Dr Zahari Husin berkata ini termasuk pengurangan tempoh pendaftaran GrabCar selain menjadi pusat sehenti khidmat penyelenggaraan dan alat ganti, pembaharuan insurans dan cukai jalan.

    “MoU ini merupakan cabang baharu untuk Perodua kerana dapat mengetengahkan produk kami kepada pasaran berskala besar menerusi (platform) Grab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Perkhidmatan itu turut merangkumi faedah lain seperti pakej harga istimewa untuk model kenderaan seperti Bezza, Myvi dan Alza serta kadar sewa beli lebih kompetitif.

    Kereta-kereta Grabcar yang digunakan secara meluas di rantau Asia Tenggara.
    Kereta-kereta Grabcar yang digunakan secara meluas di rantau Asia Tenggara.

    Sementara itu, Ketua Grab Malaysia Sean Goh berkata syarikat itu sentiasa mengenal pasti peluang kerjasama yang saling menguntungkan bagi mengurangkan kos pemanduan dan pemilikan kereta yang sememangnya menjadi antara kebimbangan utama.

    “Kami berharap dapat menjalin kerjasama dengan rakan pemandu dalam bidang-bidang seperti memperluaskan akses terhadap pilihan pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai, cekap serta mampu untuk digunakan,” katanya.

    Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, Perodua berjaya menyerahkan sejumlah 64,600 unit kenderaan atau 35.4 peratus daripada keseluruhan bahagian pasaran industri dengan Axia mencatat 22,000 unit, Bezza (19,500 unit), Myvi (13,900 unit) dan Alza (9,300 unit). – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda