KUALA LUMPUR, 1 NOV – Pada 1 November 2019, Payments Network Malaysia (PayNet) dan Grab, aplikasi telefon pintar harian utama di Asia Tenggara, telah menjalankan kerjasama untuk manjadikan e-dompet GrabPay sebagai e-dompet pertama yang mengguna pakai DuitNow QR, QR standard nasional di Malaysia.
DuitNow QR diperkenalkan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Antara Bank (ICTF) kelolaan Bank Negara Malaysia (BNM). ICTF memberi mandat kepada PayNet, sebagai pembekal infrastruktur pembayaran seluruh negara untuk melaksanakan standard piawai QR saling beroperasi untuk Malaysia. Empat buah bank telah menawarkan DuitNow QR dalam aplikasi perbankan mudah alih mereka dan 25 buah bank lagi dijangka akan mula menawarkan DuitNow QR dalam tempoh enam bulan.
DuitNow QR akan membentuk landskap pembayaran yang cekap, berdaya saing dan inovatif di Malaysia dengan membolehkan operasi saling kendalian. – Bernama