Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Korean Air selaku syarikat penerbangan rasmi Korea telah melantik Grace Travel Agency sebagai ejen perkhidmatan amnya (GSA) di Brunei Darussalam.
Sehubungan itu, majlis penandatanganan rasmi bagi pelantikan berkenaan telah berlangsung pagi tadi di Mutiara Ballroom, Hotel Radisson, di sini.
Menandatangani bagi pihak Korean Air ialah Pengurus Negara Korean Air, Jeon Young Do manakala itu, Grace Travel Agency diwakili oleh Pengurusnya, Kelvin Goh dengan disaksikan oleh Duta Besar Korea ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Cho Won-Myung.
Pada majlis itu, Pengarah Grace Traven Agency, Pengiran Hajah Mariam binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Muda Haji Hashim dan Jeon Young Do turut menyampaikan cenderamata kepada TYT Cho Won-Myung.
Bermula Januari 2018, Grace Travel Agency menjadi wakil pengurusan jualan, pemasaran dan aktiviti tempahan di Brunei bagi Korean Air.


Grace Travel Agency merupakan ejen penerbangan dan pelancongan yang baru ditubuhkan dengan visi kuat untuk membina pengalaman melalui kerjasama dengan rakan industri serantau dan global.
Mereka berusaha untuk menerima pakai teknologi dan inovasi kreatif untuk menyalurkan perkhidmatan pelanggan kos efektif dan memenuhi keperluan pasaran Brunei.
Kevin Goh menjelaskan, Korean Air sebagai salah sebuah syarikat penerbangan terbesar dan penerbangan rasmi Korea Selatan, menawarkan perkhidmatan terbaik kepada penumpang dan membina lebih banyak destinasi kebudayaan.
Tambahan lagi, dengan pembukaan terminal kedua Lapangan Terbang Incheon yang dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk robot maklumat bergerak, kiosk daftar masuk sendiri, pengimbas seluruh badan, sistem boarding secara automatik dan atap dibuat daripada panel solar.
Para pelancong juga sekarang mudah untuk melancong ke 123 bandar di 43 buah negara di seluruh dunia.