Friday, March 21, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan cemerlang kongsi petua, rahsia kejayaan

    Oleh Syahmi Hassan

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Pengalaman indah yang terlakar di sepanjang empat tahun mengikuti latihan dalam perkhidmatan di Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah banyak memberikan garis pandu untuk memiliki sikap dan perilaku yang kritis dan kreatif terutamanya melalui kerja kursus dan kajian-kajian dari sumber secara langsung.

    Bagi Dayang Ismayah binti Haji Mohd Noor @ Haji Sulaiman, kajian-kajian yang kebanyakannya diungkayahkan secara berkumpulan telah mengajar kemahiran dalam mewujudkan hubungan berpasukan yang memberi peluang kepada setiap anggota untuk memberikan buah fikiran sebagai sebuah kumpulan yang mencapai matlamat yang sama.

    Graduan Sarjana Muda dalam Bahasa Melayu dan Linguistik itu mengongsikan pengalamannya semasa ditemui Media Permata sejurus selepas Majlis Konvokesyen ke-29 UBD di Dewan Canselor, UBD, hari ini.

    Ketika menjalani pengajian di UBD, beliau juga berpeluang mengikuti Program Pertukaran Pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia, yang menurut beliau, merupakan titik permulaan untuk berdikari di kaki sendiri dan mendewasakan diri untuk mencontohi sikap masyarakat di sana yang bersemangat dan tangkas bertindak.

    Beliau yang memperolehi Kepujian Kelas Pertama juga telah mengongsikan tip-tip di sebalik kejayaannya yang mana bagi beliau kecemerlangan dan kejayaan merupakan dambaan setiap mahasiswa.

    Dayang Ismayah bersama suaminya selepas menerima ijazah pada pagi kelmarin.

    “Penting untuk memiliki keinginan untuk berjaya. Kita harus optimis dan selalu berusaha untuk mencapai yang terbaik dalam hidup. Seimbangkan masa. Pola fikir juga harus dibiasakan berfikir secara cermat. Cermin diri sendiri, lihat kemampuan diri. Cemerlang merupakan suatu misteri. Misteri yang perlu dirungkai sendiri,” jelas Dayang Ismayah.

    Dengan pengalaman pengajian yang diperolehi di UBD, Dayang Ismayah berkata, beliau akan memanfaatkannya dengan semaksimum yang mungkin di masa akan datang.

    “Sebagai seorang pendidik, saya akan meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa bagi melahirkan generasi penerus yang mempunyai kredibiliti dan menjadi tunjang pembangunan negara yang akan meneruskan teras negara iaitu kesultanan, kemelayuan dan keislaman,” jelasnya.

    Beliau turut menyarankan generasi muda supaya bijak merebut peluang yang diberikan dan berani menampilkan diri untuk menjadi agen yang membawa ke arah perubahan dan pembaharuan.

    “Generasi muda hendaknya mengembangkan kreativiti dan potensi diri secara optimal. Dengan demikian akan melahirkan generasi pelapis yang mampu menggantikan kepimpinan bangsa yang lebih maju dan berjaya,” tambahnya.

    Bagi Dayang Siti Nurajimah binti Haji Abu Bakar pula, kejayaan yang dicapai hari ini adalah hasil usaha dan penat lelah yang dilalui selama empat tahun menjalani pengajian di UBD.

    “Banyak perkara yang telah dilakukan untuk meraih apa yang diperolehi pada hari ini, antaranya menumpukan sepenuh perhatian dan komited dalam pengajian, menjalankan kajian-kajian yang telah diarahkan bagi memenuhi kehendak kursus, banyak meluangkan masa di perpustakaan untuk mencari bahan-bahan bagi menghasilkan satu kajian yang mantap dan sering merujuk kepada pensyarah-pensyarah jika terdapat kekeliruan di sepanjang pengajian,” kongsi Dayang Siti Nurajimah.

    Beliau yang juga merupakan seorang guru berharap agar beliau akan dapat meneruskan perjuangan mendidik anak bangsa selaras dengan Wawasan Negara 2035 yang ingin menjadikan Brunei Darussalam terkenal di mata dunia dengan melahirkan rakyat yang berilmu, berkemahiran dan bertamadun.

    Graduan Sarjana Muda Sastera dalam Bahasa Melayu dan Linguistik dengan mendapat Kepujian Kelas Kedua Atas itu menyarankan generasi baru untuk harus berani dalam merebut peluang dan menyahut semua cabaran bagi meraih kejayaan di kemudian hari.

    “Jangan hanya berpeluk tubuh dan menantikan sesuatu yang belum pasti kerana kejayaan itu tidak akan datang bergolek tanpa adanya usaha, pengorbanan dan kerja keras seseorang itu. Harus ada semangat untuk memajukan diri sendiri,” tekannya.

    Awang Mohd Hafiz bersama ibu serta abangnya ketika ditemui Media Permata.

    Awang Mohd Hafiz bin Haji Ismail yang mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Perdagangan, juga tidak ketinggalan mengongsikan pengalaman yang telah dilalui bagi mendapat kejayaan pada hari ini.

    “Bagi mendapatkan Ijazah Sarjana Muda saya ini, saya telah menghabiskan masa tiga tahun setengah belajar di UBD. Banyak yang telah saya pelajari dari modul-modul dalam jurusan ini dan antara modul-modul yang saya minati adalah Marketing Management dan Project Management.”

    Beliau juga telah diberikan peluang untuk merasai pengalaman belajar keluar negara pada tahun ketiga di bawah Program Discovery Year iaitu satu semester di University of Exeter, United Kingdom dan satu semester di Sejong University, Korea Selatan.

    “Di bawah jurusan ini, saya juga telah diberi pendedahan ke dunia luar, seperti pengurusan perniagaan, pengurusan acara dan sebagainya. Dengan mengikuti jurusan pengurusan perdagangan ini, saya juga telah mempelajari pelbagai ‘soft skills’, termasuk pengurusan masa yang efisien, cara-cara berurusan dan berkomunikasi dengan pihak luar secara efektif,” jelas Awang Mohd Hafiz.

    Pengiran Hajah Nurkhairiah, penerima ijazah PhD dalam Pendidikan Islam.

    Media Permata juga sempat menemu bual Pengiran Hajah Nurkhairiah binti Pengiran Haji Hadir yang menerima Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam Pendidikan (Islamic Studies) yang juga mengongsikan pengalaman beliau dalam meraih kejayaannya.

    “Antara perkara yang saya lakukan ialah menghormati penyelia untuk sering berbincang mengenai kajian yang dilakukan; mesti sentiasa dahaga dan menggali ilmu sebanyak-banyaknya sama ada melalui guru, buku, jurnal dan lain-lain sumber yang berkaitan dengan kajian; serta tidak malu untuk menuntut ilmu dan bertanya kepada yang lebih pakar.

    “Dan jika boleh bergeraklah ke luar negara melakukan kajian literatur sebanyak-banyaknya. Sesungguhnya ilmu yang digali dengan sedalam-dalamnya akan lebih banyak manfaatnya,” tambahnya lagi.

    Dengan pengalaman pembelajaran yang diperoleh di UBD, beliau berkata, langkah seterusnya adalah untuk meneruskan kajian lanjut dan menghasilkan beberapa kertas kerja untuk diterbitkan dan dibentangkan di mana-mana persidangan dan seminar kebangsaan dan antarabangsa yang bersesuaian dengan pendidikan Islam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda