Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan disaran lebih berani ceburi perniagaan

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar MuizMatdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 SEPT – Sekitar 4,500 pekerjaan baharu telah ditawarkan tahun ini dan sehingga kini, hampir separuh daripada pekerjaan tersebut telahpun diisi dan selebihnya masih lagi menghadiri temu duga.

    Selain itu, beberapa latihan juga telah disediakan bagi mempersiapkan anak tempatan yang terpilih untuk memulakan pekerjaan dengan syarikat di mana mereka ditempatkan.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah semasa ditemui pada majlis Doa Selamat dan kesyukuran sempena bermulanya Perkhidmatan Graduan Bersepadu di Bangunan Julangan Titah, Graduan Bersepadu, Kampung Setia Jaya, Berakas hari ini.

    Beliau seterusnya menegaskan kepada para graduan supaya tidak memilih pekerjaan dan apa yang penting menurutnya ialah pengalaman yang mereka timba semasa menjalani pekerjaan tersebut untuk diaplikasikan kepada pekerjaan baharu kelak.

    “Kita sebagai rakyat di negara menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas inisiatif Baginda dalam memberi graduan tempatan peluang pekerjaan dan menimba pengalaman dan secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan jumlah pengangguran,” jelasnya.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika ditemui media.
    Bangunan Julangan Titah, Graduan Bersepadu yang terletak di Kampung Jaya Setia, Berakas.

    Beliau seterusnya berkata pihak kerajaan kini sedang berusaha untuk membawa langsung pelabur asing ke negara ini bagi membolehkan mereka membina kilang dan sebagainya, sekali gus dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

    Sehingga kini jelasnya lagi, jumlah lepasan graduan yang baru memasuki pasaran tenaga kerja kini mencapai 6,500 graduan.

    Sementara itu, menurut Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apongsemasa ditemui di majlis itu pula berkata, “Para graduan sudah boleh berfikir di luar kotak, mereka tidak berada di zon yang selesa dan berani melangkah ke luar daripada bidang pengajian mereka.

    “Kita melihat para graduan pada masa ini bukan sahaja berani tetapi berkemampuan untuk memberikan sumbangan kepada negara dan tidak takut untuk gagal, malah mereka lebih berani untuk terus berkembang maju dan iaadalah perkara yang positif yang perlu kita ambil kira,” tegasnya.

    Tambahnya, dalam pada masa yang sama juga kerajaan Baginda Sultan telah memberikan platform pembelajaran dan platformpara graduan untuk memulakan perniagaandan mereka jelas kini lebih yakin dan berani untuk mencuba sesuatu.

    Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin pula melahirkan rasa kagum dengan inisiatif yang telah diungkayahkan oleh pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia iaitu melalui Julangan Titah yang mana banyak aktiviti perniagaan didedahkan kepada graduan di negara ini.

    “Ini termasuk restoran, pasar ria dan juga butik yang kebanyakannyamengetengahkan kraf tangan Brunei sepertibatik dan tenunan Brunei.

    Beliau seterusnya berharap akan lebih banyak lagi graduan yang akan tampil untuk mengambil peluang daripada inisiatif ini danberharap graduan yang terlibat pada masa ini akan terus bergiat aktif dalam bidang perniagaan sama ada membuka perniagaan sendiri ataupun bekerjasama dengan orang lain untuk memulakan perniagaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda