Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Allah SWT bagi meraikan kejayaan para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian bagi sesi pengajian 2020-2023, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) telah mengadakan majlis Doa Kesyukuran sempena Haflut Takharruj ke-11, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan anugerah cemerlang Diploma ‘Aliyah Qiraat kepada para pelajar pada majlis di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haflut Takharruj ke-11 ITQSHHB.
Turut hadir ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Dato Seri Paduka Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Awang Isa dan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Hajah Nor Hashimah bin Haji Mohammed Taib.
Pengetua ITQSHHB, Pengiran Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, graduan yang mendapat kecemerlangan dalam bidang akademik seperti tahun-tahun sebelumnya akan diberikan anugerah sebagai takrim dan motivasi untuk terus maju.
Beliau turut mengongsikan, pada tahun ini satu anugerah telah diperkenalkan iaitu Anugerah Cemerlang Dakwah yang dihasratkan dapat menjadi pemangkin untuk melahirkan lebih ramai daie dalam kalangan penghafaz Al-Quran di negara ini.
“Institut memberikan penghargaan kepada seorang lepasan institut dengan mengambil sukut baik 30 tahun penu-buhan ITQSHHB dan Haflut Takharruj ke-11 yang mana diberikan kepada Awang Abdul Aziz bin Noor Nasran,” tambah beliau.
Terdahulu itu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Dr Haji Mutiaa Al-Kabbani Mahmood, pensyarah Diploma ‘Aliyah Qiraat institut berkenaan.






