Wednesday, September 18, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan institusi pengajian tinggi sumber modal insan tak ternilai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Saban tahun, institusi pengajian tinggi tanah air kita terus melahirkan golongan cendekiawan bak cendawan tumbuh selepas hujan.

    Sebagai salah sebuah institusi pengajian tinggi tempatan, Universiti Teknologi Brunei (UTB) juga terus berdiri teguh memupuk komitmen berterusan dalam menyediakan program-program yang berkualiti tinggi dan bertaraf antarabangsa bagi mendukung usaha kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Hal ini jelas terbukti pada kehebatan pencapaian para graduan yang berjaya menamatkan pengajian mereka di universiti berkenaan bukanlah hanya untuk mendapatkan sekeping ijazah semata-mata bahkan masing-masing memiliki kewibawaan dalam menerokai bidang penyelidikan baharu yang selari dengan keperluan negara dan bakal menyumbang serta memberikan nilai tambah dan berimpak tinggi kepada masyarakat sejagat.

    KEPERLUAN PENDIDIKAN SEPANJANG HAYAT

    Hakikatnya, tugas seorang mahasiswa atau mahasiswi tidak kira di institusi mana pun mereka menuntut bukan hanya untuk melengkapi syarat bagi menaik taraf pendidikan mereka semata-mata, bahkan seiring berjalannya waktu mereka perlu meyakini betapa mustahaknya untuk terus menimba ilmu pengetahuan baharu, membangunkan kemahiran terkini dan meningkatkan sifat peribadi mereka dalam mempersiapkan diri bagi kehidupan sepanjang hayat.

    Ke arah itu, setiap individu perlu bangkit menjadi sebahagian daripada komuniti yang bekerjasama ke arah mencapai misi untuk menghasilkan bakat bagi sebuah masyarakat berdaya usaha global dan mampan yang berakar umbi dalam falsafah negara, Melayu Islam Beraja, ke arah merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    Dayang Muizzah Zafirah ketika ditemui penulis di ICC, Berakas, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Awang Osmali percaya penguasaan sains data dapat membantu syarikat-syarikat komersial untuk meningkatkan penghasilan jualan mereka. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Nuramanina berkata kejayaan sebenar adalah menemukan kepuasan dalam usaha, walaupun jalan yang dilalui penuh cabaran. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Antara yang hadir semasa majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    “Sepanjang mengikuti kursus sarjana ini, pastinya setiap modul yang telah dipelajari dapat meningkatkan ilmu saya dan rakan-rakan seperjuangan untuk kami lebih bersedia bagi terus melangkah ke hadapan dan mengambil alih tugasan yang lebih mencabar, sekali gus mewujudkan peluang untuk kami mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari.

    “Misalnya, dari segi keusahawanan teknologi dan inovasi, program ini telah memberikan kami peluang bagaimana meningkatkan sumber air bagi kawasan industri penanaman padi di Kampung Wasan, yang berpotensi meningkatkan penghasilan padi dari dua musim ke tiga musim setahun. Model prototaip yang telah dihasilkan membuktikan sumber air dari paras tinggi dapat dialirkan kepada kawasan penanaman padi tanpa memerlukan tenaga karbon iaitu zero carbon emission,” ujar Awang Osmali bin Haji Othman selaku salah seorang graduan Ijazah Sarjana Sains Secara Kerja Kursus dalam Pengurusan dan Teknologi semasa berkesempatan ditemui Media Permata pada Majlis Konvokesyen UTB ke-12 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, baru-baru ini.

    Beliau yang mengambil pengajian tersebut secara separuh masa itu turut menambah, dari segi kemahiran yang diperoleh secara umumnya, dirinya bersama para mahasiswa dan mahasiswi yang lain lebih memahami tentang kelebihan sains data yang dapat membantu syarikat-syarikat komersial untuk meningkatkan penghasilan jualan.

    Dari segi pengurusan operasi, Awang Osmali berkata mereka juga didedahkan dengan tugasan bagaimana untuk memperbaiki operasi yang lebih efisien dan berdaya saing berdasarkan analisa dari masalah yang sedia ada.

    ERTI SEBUAH KEJAYAAN

    Kejayaan itu bukan hanya tentang anugerah atau pengiktirafan, tetapi tentang mengetahui bahawa awda telah memberikan yang terbaik, berkembang dalam proses tersebut, dan memberikan kesan positif walaupun ia kelihatan kecil pada pandangan orang di sekeliling awda.

    “Dengan kata lain, kejayaan sebenar adalah menemukan kepuasan dalam usaha, walaupun jalan yang dilalui penuh cabaran, serta bersyukur atas pertumbuhan dan pelajaran yang dipelajari sepanjang perjalanan,” itulah antara luahan yang terungkap daripada salah seorang graduan UTB, Dayang Nuramanina binti Hamdani selaku pemegang Ijazah Sarjana Sains Secara Penyelidikan dalam Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari Fakulti Kejuruteraan UTB semasa turut berpeluang ditemui penulis.

    Beliau yang turut diraikan pada majlis penuh kemeriahan bersama lebih 600 orang graduan pada tahun ini juga berkata pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh melalui pengajian berkenaan mempunyai kuasa tersendiri lebih-lebih lagi untuk sama-sama membentuk masa depan negara.

    “Tidak kira bidang apa pun, setiap ilmu yang dipelajari menyumbang kepada matlamat yang lebih luas untuk meningkatkan pembangunan negara dan memperbaiki kehidupan rakyatnya. Kepakaran yang saya peroleh semasa mengikuti pengajian sarjana sains khususnya dalam kejuruteraan elektrik dan elektronik bukan sahaja memperdalam pemahaman kita mengenai potensi tenaga boleh diperbaharui tetapi juga berfungsi sebagai asas untuk memberikan inspirasi dan mendidik orang lain. Dengan berkongsi apa yang telah dipelajari, dari situ juga kita juga dapat memainkan peranan bersama memajukan negara, memacu kemajuan dan inovasi yang memberikan kesan jauh melebihi bilik kuliah,” jelasnya.

    TEROKAI ILMU, SAHUT CABARAN INDUSTRI PEKERJAAN

    Sebagai mewakili para graduan yang diraikan pada majlis berkenaan, Dayang Muizzah Zafirah binti Matussin selaku penerima ijazah kepujian kelas pertama dalam Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Perhubungan terdahulu merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT dan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli keluarga, tenaga pengajar dan rakan-rakan seperjuangan yang pastinya menjadi insan-insan pendorong kekuatan pada saat suka dan duka meniti liku-liku cabaran dalam dunia pengajian selama ini.

    “UTB bukan saja mampu melahirkan anak tempatan yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya. Namun, berdasarkan pengalaman peribadi saya, UTB telah memenuhi jangkaan saya malah lebih daripada itu. Dengan memberikan peluang tanpa batas dan pentas yang besar untuk bersinar, UTB juga telah berjaya membakar semangat diri ini dalam bidang komunikasi dan menyediakan asas yang kukuh.

    “Disebabkan itulah saya teruja untuk menerokai peluang-peluang yang ada pada masa akan datang,” ujarnya.

    Dayang Muizzah Zafirah turut menjelaskan bidang komunikasi mengajarkan ilmu dan kemahiran yang amat luas dan dapat diguna pakai dalam pelbagai industri pekerjaan.

    Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang di mana komunikasi memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian. Kemahiran komunikasi yang betul adalah amat penting bagi melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, giat melibatkan diri dan aktif.

    “Oleh kerana sifat bidang ini di mana aplikasinya amat luas, jurusan ini tidak mengehadkan saya untuk menceburi industri tertentu dan membolehkan fleksibiliti dalam pilihan kerjaya.

    Ini kerana komunikasi yang berkesan adalah aset penting dalam pelbagai peranan. Ia membekalkan individu dengan kemahiran penting untuk menghadapi situasi dunia sebenar di mana komunikasi yang jelas, berkesan, serta strategik adalah kunci kejayaan dan dalam masa yang sama dapat menyumbang dalam merapatkan jurang antara pelbagai komuniti sekali gus mempromosikan perpaduan negara dan bangsa,” kongsinya lanjut sebelum mengakhiri temu bual bersama penulis, baru-baru ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda