Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Seramai 63 orang graduan Brunei dari Kolej Perdagangan Laksamana (LCB) yang melanjutkan pengajian tinggi mereka di Universiti Chester, United Kingdom, telah menerima ijazah sarjana muda masing-masing pada majlis penganugerahan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, malam ini.
Hadir menyampaikan sijil kepada para graduan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.
Para graduan berkenaan merupakan graduan pertama yang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Perakaunan dan Kewangan, Sarjana Muda Sastera dalam Pengurusan Perniagaan, Sarjana Muda Sastera dalam Pemasaran dan Sarjana Muda Sains dalam Sains Komputer di Universiti Chester dan lima daripada mereka berjaya mendapat ijazah Kepujian Kelas Pertama.
Kelima-lima mereka ialah Haji Muhd Taufiq bin Haji Suhamin yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam Perakaunan dan Kewangan; Dayang Siti Sarah Syed Ibrahim juga bagi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Perakaunan dan Kewangan; Awang Muhammad Nazree Asli bagi Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Pengurusan Perniagaan; Dayang Nur Haziyah Shafiqah binti Hasni juga bagi Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Pengurusan Perniagaan; dan Awang Sahrin bin Haji Abdul Rahman bagi Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Sains Komputer.

Menteri Pendidikan dalam ucapannya telah melahirkan harapan agar kejayaan yang diperolehi akan dapat memulakan kerjaya masing-masing dalam bidang yang diceburi. Pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi, katanya, mungkin sebagai asas permulaan kerjaya, lebih banyak lagi untuk dicapai iaitu melangkaui imaginasi dan berusaha ke arah matlamat itu.
Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, LCB telah berdedikasi menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada warga Brunei selama 14 tahun dan terus menyokong keperluan negara dengan menawarkan program-program yang berkaitan dalam membangun masa depan tenaga kerja. Sebagai tambahan, tekannya lagi, institusi pengajian tinggi juga harus menawarkan program yang berkaitan untuk meningkatkan kualiti program yang ditawarkan, termasuk program kerjasama dengan institusi di luar negara dengan meningkatkan reputasi institusinya secara tempatan dan antarabangsa.
Menurut kenyataan LCB, sejak penubuhannya pada 2003, kolej berkenaan telah berjaya memberi peluang kepada hampir 3,000 orang pelajar tempatan dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian mereka.
Daripada jumlah berkenaan, lebih 500 orang telah berjaya menamatkan pengajian mereka di universiti-universiti United Kingdom yang mempunyai jalinan kerjasama dengan LCB.