Oleh Nurdiyanah R. –
Sebuah kejayaan itu sukar untuk diukur sepenuhnya dengan pencapaian akademik semata-mata.
Apa yang pasti bagaimana pembawaan diri kita terhadap sesuatu amanah dan tanggungjawab yang diberikan itu memainkan peranan terbesar untuk menentukan prestasi masing-masing pada akhirnya.
Sehubungan itu, Politeknik Brunei (PB) sekali lagi melakar detik sejarahnya apabila seramai 882 graduan Kelas 2024 telah diraikan dan menerima sijil diploma mereka pada Majlis Konvokesyen PB ke-10 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas baru-baru ini.
Hal ini sekali gus membuktikan komitmen PB dalam membekalkan sumber tenaga manusia yang berkemahiran tinggi untuk sama-sama menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
KEJAYAAN SEBAGAI TITIK PERMULAAN
Pencapaian yang diraih tidak akan terhenti begitu sahaja malah ia bagaikan satu motivasi dan titik permulaan untuk meneruskan lagi pembelajaran di peringkat seterusnya, begitulah semangat yang diluahkan oleh Dayang Nur Faiqah Munirah binti Isham selaku salah seorang graduan Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Makmal, di bawah Sekolah Petrokimia, PB, semasa berkesempatan ditemui Media Permata pada majlis konvokesyen tersebut.
“Dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang tiga tahun di PB bermula pada tahun 2021, saya bersyukur dapat mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran serta keupayaan untuk menjalankan pelbagai analisis makmal secara praktikal antaranya menjalankan dan menyokong penyelidikan dan eksperimen saintifik; merekodkan dan menganalisis data; dan mengumpul, menyediakan dan menguji sampel dan peralatan serta sokongan teknikal.
Semua itu memberikan pengalaman langsung sebagai persediaan untuk meniti dunia pekerjaan pada masa depan,” kongsinya.
Dayang Nur Faiqah yang berada di sisi kedua ibu bapanya pada ketika itu turut menambah dengan program Diploma Tahap 5 dalam Teknologi Makmal, beliau bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain turut dikehendaki untuk menjalani penempatan latihan pekerjaan bersama Hengyi Industries Sdn Bhd selama 10 bulan.
“Ia salah satu kelebihan buat kami di mana kami dapat merasai situasi kehidupan alam pekerjaan sebenar,” ujarnya yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik.
KENANGAN MENIMBA ILMU
Setiap kejayaan yang dicapai itu bukanlah suatu yang mudah bahkan ia telah melalui proses-proses tertentu di mana setiap pelajar itu perlu sentiasa menyemai semangat positif untuk terus membangunkan diri dari semasa ke semasa di samping memiliki semangat kerjasama bersama rakan-rakan seperjuangan dalam menyelesaikan segala tugasan yang diamanahkan.
Itulah antara prinsip keyakinan empat orang graduan PB setelah berjaya memegang sijil Diploma Tahap 5 dalam Pengajian Perniagaan pada majlis penuh bermakna itu.
Para graduan yang turut berkesempatan ditemui penulis itu terdiri daripada Awang Muhammad Izzulzarif bin Haji Adnan, Awangku Abdul Wafi Hadiyan bin Pengiran Jainalabidin, Awang Ahmad Danish bin Joini dan Awang Muhammad Ammar Rusyaidi bin Abdul Razak turut meluahkan kenangan bersama rakan-rakan seperjuangan dan juga para tenaga pengajar dalam meniti pembelajaran di PB pastinya akan menjadi detik-detik yang begitu berharga baik suka mahu pun duka kerana semua itu menjadi bekalan untuk mereka meneruskan perjuangan dalam bidang pembelajaran sebanyak mungkin pada peringkat seterusnya atau pun dalam alam pekerjaan.
SAHUT PELUANG SEBAIKNYA
Turut ditemui penulis pada majlis konvokesyen berkenaan, enam bersahabat yang sama-sama menerima sijil Diploma Tahap 5 dalam Perakaunan Perniagaan dan Kewangan antaranya mengongsikan sepanjang mengikuti di PB, antara kemahiran asas yang telah dipelajari ialah merangkumi kemahiran dalam perakaunan dan pengauditan yang sememangnya berguna di mana-mana sektor pekerjaan di luar sana.
Mereka terdiri daripada Dayang Nur Marsya binti Awang Johari, Dayang Nur Liyana binti Abdullah, Dayang Hasya Munirah binti Hamdani, Dayang Nor Annisa Fadlilah binti Amin, Dayang Nur Qamarina @ Nurin binti Jefray dan Dayang Amal Batrisya binti Iskandar antaranya turut mengongsikan segalanya berbalik kepada rezeki masing-masing, ada sebahagian kami yang bakal melanjutkan pembelajaran ke peringkat seterusnya dan sebahagian lagi kini sedang menimba pengalaman alam pekerjaan terlebih dahulu.
Sebelum mengakhiri temu bual, mereka merakamkan penghargaan yang tidak terhingga atas doa dan sokongan tulus ibu bapa masing-masing dan juga golongan tenaga pengajar yang selama ini bertungkus lumus melahirkan graduan PB sehingga detik ini.
Daripada jumlah graduan yang diraikan pada majlis konvokesyen pada tahun ini, seramai 186 graduan daripada Program Perniagaan, 150 graduan daripada Program Teknologi Maklumat dan Komunikasi, 185 graduan daripada Program Sains dan Kejuruteraan, 188 orang daripada Program Sains Kesihatan dan 173 graduan lagi daripada Diploma Tahap 5 di bawah Program Petrokimia.