Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan perlu teroka peluang keusahawanan

    Oleh Ak Zaki Kasharan & Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OGOS – Para graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) diingatkan bahawa segala aktiviti mereka bukan hanya bagi kebaikan diri sendiri, malahan ia juga untuk berbakti kepada bangsa, agama dan negara.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor UBD menekankan perkara itu semasa berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen UBD ke-35 di Dewan Canselor, UBD hari ini.

    Baginda turut menggalakkan para graduan untuk meneroka peluang keusahawanan kerana bidang tersebut mampu merangsang pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang perniagaan dan pekerjaan baharu.

    “Oleh itu, Beta sukacita mengambil maklum bahawa UBD telah merangka satu Entrepreneurship Blueprint bagi memastikan ekosistem keusahawanan para pelajar UBD adalah lebih teratur dan komprehensif.

    “Beta berharap usaha ini akan benar-benar menyuntik minda keusahawanan dalam kalangan pelajar.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan mengurniakan titah pada Majlis Konvokesyen ke-35 UBD, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan dijunjung berswafoto dengan graduan UBD semasa Majlis Konvokesyen UBD ke-35, kelmarin. Berangkat sama ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda (Dr) Haji Al-Muhtadee Billah. – Gambar oleh Muiz Matdani

    “Dari sini akan dapat dilihat betapa sebuah universiti itu mampu untuk berperanan mencipta ataupun mencipta bersama masa depan pelajar cemerlang selaras dengan slogan UBD iaitu Futuring Together,” titah Baginda.

    Menyentuh mengenai status UBD sebagai universiti yang paling tua di Negara Brunei Darussalam, Baginda bertitah, UBD memiliki kapasiti untuk mengetuai pencetusan idea memanfaatkan kesan positif kecerdasan buatan (AI) terhadap masyarakat.

    Ini termasuk penggunaan AI dalam meningkatkan kecekapan di tempat kerja.

    “Beta yakin para graduan sudah bersedia untuk mengharungi cabaran-cabaran baharu yang bakal ditempuh berikutan suasana dunia yang semakin mencabar dengan perubahan-perubahan pantas di luar jangkaan.

    “Sebagai contoh, teknologi AI yang sangat hangat pada masa ini telah membawa perubahan besar, termasuk kepada sektor pendidikan dan perundangan yang belum pernah dialami sebelum ini,” titah Baginda.

    Justeru itu, Baginda juga menyarankan agar UBD dan institusi pengajian tinggi yang lain untuk memikirkan dan menyediakan garis panduan bagi memanfaatkan kecekapan dan produktiviti yang dapat diperoleh dari gabungan penggunaan AI dengan kecerdasan semula jadi manusia, di mana dengan adanya garis panduan ini nanti akan dapatlah diharapkan penggunaan yang telus, berintegriti dan beretika bagi mencegah penyalahgunaan AI.

    Pada masa yang sama juga Baginda menambah bahawa garis panduan ini akan mengukuhkan lagi tadbir urus dan rangka kerja bagi usaha-usaha transformasi digital kebangsaan ke arah menjadikan negara ini sebagai sebuah negara pintar.

    Perkembangan seperti ini, titah Baginda, adalah diperlukan untuk sentiasa tangkas dan boleh menyesuaikan diri bagi menyahut evolusi yang sentiasa mendatang. Alam pekerjaan juga tidak terlepas daripada mengalami keadaan sentiasa berubah dan sukar diramal.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyambut baik usaha UBD membangunkan sebuah portal digital pencarian pekerjaan iaitu CareerBN yang dilengkapi dengan kemampuan machine learning dan AI yang dilihat mampu untuk kemudahan pengurusan profil, pemberitahuan kerja, padanan kerja dan akses mudah kepada majikan dan lain-lain.

    Terdahulu, Baginda juga berkenan mengucapkan tahniah kepada para graduan yang berjaya menamatkan pengajian masing-masing, serta ibu bapa, penjaga dan tenaga ahli akademik atas dorongan dan sokongan mereka sepanjang tempoh pengajian di UBD.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda