Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Graduan Program BIBD SEED dirai

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) kelmarin, telah meraikan sembilan orang usahawan wanita yang berjaya mengikuti Program BIBD SEED, program khas untuk memperkasa ibu yang kurang berkemampuan.

    Para usahawan berkenaan merupakan peserta program pertama yang akan menjadi ahli BIBD SME360 setelah menandatangani perjanjian dengan BIBD pada Majlis Makan Tengah Hari berkenaan yang diadakan di ibu negara.

    Hadir untuk menyampaikan sijil kepada graduan pertama Program BIBD SEED itu ialah Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Awang Sulaiman yang turut menyaksikan majlis penandatanganan perjanjian tersebut.

    Menandatangani bagi pihak BIBD pada majlis itu ialah Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsalfelah. Menurut kenyataan BIBD, setelah menjadi ahli BIBD SME360, kesemua lepasan BIBD SEED akan dipantau dan dibimbing oleh pengurus perhubungan selaku mentor.

    Mereka juga akan menerima akses kepada kewangan yang diberikan oleh BIBD SME360 untuk membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka.

    Hajah Noraini bergambar ramai bersama sembilan orang usahawan wanita bagi pengambilan pertama Program BIBDSEED. – Gambar oleh Azlan Othman

    Salah seorang daripada ibu tunggal berkenaan telah memulakan perniagaannya iaitu sebuah kedai hadiah dan sagu hati yang dikenali sebagai Galeri Samalindang bertempat di BIBD Connects baharu di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara.

    Manakala itu, tiga orang lagi akan menjalankan perniagaan kedai makan berupa kios dan lima orang lagi akan meneruskan kepentingan perniagaan masing-masing yang sesuai.

    Haji Mohammad Yusri dalam ucapan alu-aluannya semasa majlis berkenaan memuji ke-tahanan dan kesabaran graduan sepanjang program.

    “Bukan sahaja mereka telah mengatasi cabaran tetapi mereka telah mengambil peluang itu menjadi lebih proaktif dan inovatif dalam perniagaan ma-sing-masing dari segi persembahan produk berdasarkan trend semasa,” katanya.

    Beliau kemudian memberitahu para peserta bagi pusingan kedua BIBD SEED akan belajar daripada peserta pertama dari segi kualiti dan banyak lagi.

    “Kesemua peserta harus berlatih dengan bersungguh-sungguh dari apa yang dipelajari dan mengambil tahu dan nasihat daripada mentor peserta graduan pertama,” katanya, sambil menambah latihan berkenaan akan dapat memberikan hasil untuk peserta baharu.

    Tambah beliau, Program BIBD SEED baru-baru ini, telah memenangi Anugerah Program Pemerkasaan Wanita 3G pada Anugerah Kepimpinan Baik Global ke-4.

    “Ini adalah bukti komitmen BIBD dan rakan strategiknya untuk memastikan peserta program BIBDSEED akan berjaya pada akhir program berkenaan,” tambahnya.

    Haji Mohammad Yusri juga mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat termasuk pihak berkepentingan daripada kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kejayaan dan kemapanan program.

    Pelancaran Program BIBD SEED seterusnya menandakan komitmen BIBD terhadap pembangunan negara, bukan hanya sebagai institusi kewangan, tetapi juga sebagai seorang warganegara yang bertanggungjawab menyumbang kepada kejayaan Negara Brunei Darussalam dan masyarakat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda