Oleh Salawati Haji Yahya –
Terpancar kegembiraan dan kepuasaan pada wajah-wajah para graduan sebaik saja mereka melangkah masuk ke Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas semasa Majlis Hafl Al-Takharruj Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) ke-13, yang berlangsung hari ini.
Dilengkapi dengan jubah pengijazahan yang pastinya menjadi impian setiap mahasiswa, ia adalah sebagai tanda atau simbolik kepada kejayaan setelah mengharungi liku-liku cabaran sepanjang tempoh pengajian.
Waima demikian, di sebalik kejayaan yang dicapai, bukan setakat berbekalkan usaha dan pengorbanan semata-mata, bahkan apa yang lebih utama di sebalik semua itu adalah bekalan doa dan restu kedua-dua ibu bapa, suami, isteri dan ahli keluarga masing-masing yang merupakan salah satu kunci keberkatan demi mencapai kejayaan.
Dalam sama-sama meraikan detik kegembiraan itu, pihak media turut berpeluang menemu bual beberapa graduan dalam pelbagai program yang rata-rata melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas peluang pengajian yang sebanding dengan negara-negara membangun lain.
Cabaran di sebalik kejayaan
“Pengorbanan keluarga yang sentiasa berusaha memahami situasi dan keadaan sepanjang tempoh pengajian merupakan tulang belakang untuk saya menyelesaikan pengajian di peringkat kedoktoran (PhD) dalam bahasa Arab.”
Perkara itu adalah antara yang dikongsikan oleh graduan PhD, Hajah Norhayati binti Haji Abdul Karim semasa ditemui di majlis berkenaan dan seterusnya mengongsikan sepanjang tempoh pengajian memang banyak cabaran dan antaranya mencari bahan-bahan rujukan dalam bentuk syair Arab.
Di samping komitmennya bersama keluarga, faktor kedua kejayaannya adalah tuntutan bagi menyempurnakan dan memenuhi syarat sebagai seorang pensyarah di UNISSA, serta circle group positif iaitu kumpulan Sultan Tengah, PhD Fal 2018 dan Geng Mutiara.
“Kumpulan-kumpuan ini adalah mereka yang terdiri daripada kalangan ibu serta para junior dan rakan taulan daripada pelbagai latar belakang yang berjuang menghabiskan pengajian di peringkat PhD dan tidak lupa juga penyelia saya, Profesor Dr Moustafa el Sawahly dan pembantu penyelia, Dr Hajah Rafidah binti Haji Abdullah, Dekan Fakulti Bahasa Arab.”
Selain itu, cabaran lain yang dihadapi beliau sepanjang pengajian PhD adalah mencari bahan-bahan manuskrip yang terdiri daripada karya para ulama dan berbelanja untuk mengumpulkan buku-buku terkait dengan ulama-ulama yang mewakili Malaysia, Brunei Darussalam, Patani dan Indonesia.
Cabaran dalam mencari bahan-bahan rujukan menurutnya adalah memang tidak mudah, kerana beliau perlu menganalisis kedatangan Islam di alam Melayu, perjuangan angkatan ulama Arab ke tanah Melayu serta sumbangan ulama Melayu, terutama dalam bidang pendidikan Islam.
Beliau turut menjelaskan, untuk memurnikan lagi penulisan dalam bahasa Arab, penggunaan khidmat pembaca pruf memang diperlukan sebagai sandaran.
Justeru itu, sudah menjadi lumrah seorang pelajar, melakukan kerja lapangan yang memang dinanti-nantikan, di mana perasaan yang sama juga dilalui oleh graduan PhD lain yang mana bagi dirinya, kajian lapangan tersebut merupakan kajian yang banyak adventure dan membuat dirinya lebih bersemangat untuk membuatnya.
Melalui kaca mata seorang pensyarah, beliau melihat perkembangan pendidikan bahasa Arab di negara ini semakin maju, tamsilnya guru-guru tempatan sering mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menarik minat para pelajar peringkat rendah dan menengah memahami bahasa Arab dengan sebaik mungkin.
Peningkatan jumlah kemasukan para pelajar peringkat rendah ke sekolah Arab dari tahun ke tahun juga semakin meningkat, termasuklah di peringkat institusi pengajian tinggi misalnya melalui Fakulti Bahasa Arab, UNISSA sendiri telah menawarkan program Bahasa Arab dan Terjemahan peringkat sarjana muda dengan pelbagai tawaran pengajian ke luar negara sewaktu dalam tempoh pengajian.
Sains Halal menjadi pilihan
Dalam perkongsian lain pula, pihak media turut tidak ketinggalan untuk menemu bual salah seorang graduan Sarjana Muda Sains Halal, UNISSA, Awang Abdul Ahnaf Nafie bin Haji Morni yang lebih memilih bidang sains halal disebabkan minatnya yang mendalam untuk mempelajari ilmu halal.
Beliau semasa ditemui, mengucapkan rasa syukur kerana telah berjaya menggenggam segulung ijazah sebagai hadiah bukan sahaja untuk dirinya sendiri malahan buat kedua-dua ibu bapa serta keluarga, pensyarah dan rakan-rakan lain yang telah sama-sama berjuang sepanjang empat tahun pengajian di UNISSA.
Beliau turut mengongsikan alasannya memilih bidang Sains Halal, menurutnya ia bukan saja bidang baharu yang telah diperkenalkan oleh UNISSA, namun ia adalah hasratnya sendiri untuk memberi kesedaran akan kepentingan konsep halal dalam kehidupan harian kepada umat Islam khasnya di negara ini.
Beliau turut menjelaskan, jika di luar negara mungkin akan timbul keraguan tentang kehalalan sesuatu produk khasnya makanan kerana tidak semua yang dijual di luar negara mempunyai logo halal berbanding di Negara Brunei Darussalam, di mana hampir semua makanan dan restoran memaparkan logo dan sijil halal.
“Disebabkan perkara inilah saya tertarik untuk mendalami lagi ilmu halal kerana ia adalah bidang yang sangat luas dan menjadi kewajipan bagi saya untuk memberi kesedaran terhadap umat Islam di negara ini mengenai kepentingannya,” jelasnya.
Mengharumkan nama UNISSA
“Beradablah dalam berilmu, kerana dengan adanya kedua-dua perkara ini, akan wujud rasa rendah diri,” demikian luahan kata-kata semangat yang dilontarkan oleh salah seorang graduan Sarjana Undang-undang (Undang-undang Antarabangsa), Awang Mohammad Ishafie Iszuaddin bin Assokan.
Meskipun perjalanannya sebagai seorang mahasiswa UNISSA telah tamat, namun beliau telah memilih untuk menyertai Alumni UNISSA dan melahirkan harapan dengan ilmu serta pengalaman yang diperolehi sepanjang enam tahun pengajiannya akan dimanfaatkan untuk membantu bakal-bakal graduan lain menghadapi cabaran pengajian menerusi perkongsian ilmu dan pengalaman yang dimilikinya.
“Manakala untuk negara pula, saya akan terus mencuba menjadi rakyat yang bukan sahaja berilmu malah berkemahiran tinggi dalam bidang yang diceburi iaitu bidang undang-undang demi menjayakan wawasan 2035,” jelasnya.
Ketika ditemui, beliau turut mengongsikan rahsia di sebalik kejayaannya yang tidak lain adalah sokongan kedua-dua ibu bapanya, yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam memberi kata-kata semangat serta doa yang beterusan.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, pasti ada cabaran yang perlu dihadapi, namun ia tidak mematahkan semangatnya bagi terus berjuang, malah ia menjadi pembakar semangat untuk dirinya terus berusaha.
Beliau seterusnya mengongsikan, tempoh pengajian selama satu tahun adalah tempoh yang sangat singkat di mana ia memerlukan usaha yang berterusan.
“Antara cabaran lain sepanjang pengajian tersebut, secara tidak langsung, masa peribadi saya bersama keluarga menjadi terhad, namun untuk mengatasi cabaran ini, saya percaya bahawa pengurusan masa yang baik membolehkan saya mengimbangi antara kedua-duanya,” ujarnya.
Dalam perkongsiannya juga, pemilihan jurusan undang-undang antarabangsa itu adalah atas dasar minat dan keinginannya yang tinggi untuk mengetahui bagaimana undang-undang antarabangsa dipraktikkan bukan sahaja di peringkat nasional malahan di persada antarabangsa.
Tambahan pula, jurusan itu menurutnya turut merangkumi aspek ekonomi, sosial dan politik antarabangsa di mana ia amat berguna untuk perkembangan negara.
“Dengan berbekalkan ilmu dan pengalaman diperolehi selama enam tahun pengajian di UNISSA, saya ingin memasuki alam pekerjaan sesuai dengan bidang diceburi dan perkara itu adalah bergantung kepada perjalanan kehidupan saya yang telah ditetapkan sepenuhnya oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada mereka yang berhasrat untuk memilih jurusan undang-undang antarabangsa itu, “Pilih dan yakinlah bahawa keinginan serta pilihan awda itu tepat.”