Oleh Nurdiyanah R. –
Pastinya, setiap ibu bapa atau penjaga akan merasa sangat terharu dan penuh emosi melihat anak-anak yang mereka besarkan sejak kecil mencapai kejayaan sehingga ke menara gading.
Setiap perjalanan anak-anak sejak melangkah ke alam persekolahan sehingga ke detik ini terus dirangkul dengan penuh sokongan dan dorongan diiringi dengan doa-doa yang sentiasa terucap di bibir demi memohon limpahan rahmat daripada Yang Maha Kuasa.
Begitulah yang dikongsi oleh sepasang suami isteri, Awang Mohammad Yussof bin Taai dan Dayang Nooraini binti Abdul Hamid setelah menyaksikan anak sulung mereka, Awang Muhammad Naqib Nasrullah bin Mohammad Yussof, menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengkomputeran dengan Analitis Data, semasa ditemui Media Permata ketika berlangsungnya Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Tanggal 14 September, hari yang telah lama ditunggu-tunggu, menjadi kenangan yang penuh dengan rasa syukur. Mereka juga berharap agar anak mereka dapat melewati cabaran-cabaran yang akan datang dengan menerima tawaran pekerjaan, terutamanya dalam bidang teknologi maklumat, sebagaimana yang telah mereka pelajari di UTB selama ini.
Terokai ilmu kewangan sebaiknya
Hajah Siti Nor Suriana binti Haji Abdul Talip, seorang penerima Ijazah Doktor Falsafah dalam Perakaunan, berkongsi betapa kejayaannya itu merupakan sumber kegembiraan yang sukar diungkapkan. Kejayaan tersebut bukan hanya miliknya, tetapi juga milik ibu bapa dan orang-orang yang sentiasa menyokongnya sepanjang pengajiannya, baik dalam kesenangan mahupun kesusahan.




“Ilmu yang saya dapatkan ini setentunya tidak akan bermakna tanpa sokongan orang-orang yang telah membantu saya selama ini dan Insya-Allah, ilmu ini akan menjadi amal jariah bersama bagi insan-insan yang memerlukan bantuan nanti,” ujarnya.
Berkongsi lanjut, beliau menjelaskan bahawa penyelidikan yang dilakukan sepanjang pengajiannya menitikberatkan pada sejauh mana modal insan dan modal sosial dapat meningkatkan kecekapan kewangan, serta sama ada kecekapan kewangan dapat membantu perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mendapatkan sumber kewangan semasa menjalankan perniagaan.
Beliau turut menggariskan pentingnya ilmu dan kemahiran yang diperolehnya yang memberikan manfaat kepada negara dan bangsa secara keseluruhan. Beliau menekankan bahawa ilmu perniagaan, khususnya ilmu kewangan, seharusnya dimiliki oleh semua lapisan masyarakat, tanpa mengira usia. Itu juga sejajar dengan Wawasan Negara 2035 yang menekankan kepentingan memajukan negara.
“Memulakan atau menguruskan sesebuah perniagaan itu tidak mudah tanpa ilmu kewangan. Oleh sebab itu, kajian doktor falsafah saya juga berkait rapat dengan pentingnya mempunyai ilmu kewangan bagi memastikan perniagaan di negara ini lebih maju dan efisien,” jelasnya.
Ijazah salur asas kukuh
Sementara itu, Dayang Azimah binti Haji Mat Salleh, yang menerima Ijazah Sarjana (Penyelidikan) dalam Bidang Pengurusan, berkongsi keyakinannya bahawa ilmu dan kemahiran yang diperolehnya akan memberi sumbangan yang besar kepada negara dan bangsa.
“Pertama, pendidikan saya telah menyediakan asas yang kukuh dalam bidang yang diambil. Dengan itu, ia membolehkan diri saya untuk menerokai sedalam-dalamnya profesion dan industri yang berkaitan. Itu seterusnya boleh membawa kepada tenaga kerja yang lebih mahir dan berdaya saing untuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga menambah bahawa projek penyelidikan bertajuk ‘Impak Inovasi Terhadap Prestasi Kewangan PMKS’ telah berjaya diselesaikan semasa pengajian tersebut. Kajian itu memfokuskan bagaimana amalan dan strategi inovatif boleh mempengaruhi prestasi kewangan dengan ketara.
Kepentingan penyelidikan terletak pada potensinya untuk menerangkan cara PMKS boleh berkembang maju dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah. PMKS adalah tulang belakang kepada banyak ekonomi dan kesihatan kewangan mereka sangat penting untuk pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan.
UTB pilihan pertama
Manakala, salah seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Reka Bentuk Produk, Awang Mohamad Harun bin Abdul Khalid mengungkapkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT, ibu bapa dan ahli keluarganya atas sokongan yang berterusan hingga beliau berjaya meraih ijazah kelas pertama.
Beliau mengimbas kembali semasa pemilihan UTB untuk melanjutkan pengajian suatu ketika dahulu dan berkata UTB mempunyai reputasi yang kuat dalam bidang pengajian yang diminati.
“Rekod prestasi universiti dalam menghasilkan graduan yang berjaya serta kedudukan akademiknya adalah faktor penting bagi keputusan saya. UTB menawarkan program khusus disokong dengan kurikulum dan kursus yang diatur dengan baik dan ahli fakulti adalah pakar dalam bidang masing-masing,” luahnya.
Di akhir pertemuan, Awang Mohammad Harun turut menyarankan kepada semua mahasiswa dan mahasiswi untuk terus berfikiran maju ke hadapan. Beliau menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada pengajian dan pencapaian peribadi, menghasilkan kerja berkualiti dan kertas kajian yang cemerlang, serta mengelola masa dengan bijak ketika mengikuti kuliah, penyelidikan, atau aktiviti kokurikulum seperti kesatuan pelajar atau sukan semasa pengajian mereka.

