RAMADAN datang dan pergi, namun pernahkah kita menyemak keberkesanan Ramadan pada jasad dan rohani kita? Apakah nafsu masih tidak dapat dijinakkan? Apakah amukannya masih buas dan liar? Apakah segala peluang dan tawaran keemasan telah terlepas dan terbiar begitu sahaja?
Jawapannya hanya kita yang mampu menjawabnya. Sekiranya Ramadan masih lagi tidak mampu membawa perubahan kepada kita, ingatlah pada satu ancaman yang maha dahsyat. Hal ini telah dirakamkan melalui mutiara hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam telah mengaminkan tiga kali doa yang dibacakan oleh Jibril Alaihi Salam. Salah satu doanya adalah,”Sangat rugilah seseorang yang sempat hidup dalam bulan Ramadan, tetapi tidak terampun dosa-dosanya.”
Lalu, apakah kita termasuk dalam golongan ini? Apakah kekesalan Ramadan yang lalu telah diperbaiki pada Ramadan kali ini? Semuanya berada di tangan anda. Bermujahadalah, usah mengalah di pertengahan jalan mujahadah. Maka persoalannya, bagaimana ingin meraih Ramadan yang berkesan?
Univerisiti tarbiyah
Setiap jasad yang bernyawa pasti memiliki roh. Tanpa roh, jasad yang hidup akan terus lemah dan tidak bernyawa. Begitu jugalah dengan bulan Ramadan. Ramadan yang hidup mesti memiliki rohnya. Tanpa rohnya, Ramadan akan menjadi akan kendur dan akhirnya terbentur. Lalu, apakah roh bagi Ramadan?


Ramadan dihidupkan melalui tiga elemen yang akan menghasilkan roh bagi Ramadan. Ketiga-tiga elemen ini adalah siyam (puasa), qiyam (solat malam) dan Al-Quran. Tanpa ketiga-tiga ini, Ramadannya menjadi sia-sia.
1-Siyam (Puasa)
Berpuasa itu maksudnya menahan. Menahan bukan hanya pada lapar dan dahaga sahaja, tetapi turut pada semua anggota. Mata, mulut, telinga, kaki, tangan, hati dan kemaluan semuanya wajib berpuasa menahan daripada melakukan dosa. Barulah kesannya ada pada jiwa dan pancaindera. Barulah diri kita tidak lagi di takuk yang lama selepas Ramadan.
2-Qiyam (solat malam)
Selain berpuasa anggota, fizikal juga perlu dilatih untuk melahirkan ketaatan. Inilah bukti manifestasi iman. Selain bersolat fardu dan ibadah tarawih, umat Islam dituntut untuk menghidupkan malam-malam Ramadan dengan solat malam.
Pada saat orang lain lena dibuai mimpi, mereka yang merindui Allah pasti akan mengambil kesempatan untuk berdua-duaan dengan Tuhannya. Malam-malamnya dihidupkan dengan rasa penyesalan dan penyerahan kepada Allah.
Percayalah mereka yang menghidupkan malamnya bersama Allah Subhanahu Wataala, mereka akan diberikan kekuatan hati dan kemanisan dalam beribadah. Ini nutrisi tambahan bagi iman. Allah Subahanahu Wataala berfirman:
“Dan pada sebahagian malam hari, solat Tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tamabahan bagimu. Mudah-mudahan Tuhanmu menempatkanmu di tempat yang terpuji.” (Surah Al-Isra, ayat-79)


3-Membaca Al-Quran
Ramadan tidak akan lengkap tanpa membaca Al-Quran. Jika dilihat pada amalan generasi sahabat dan tabiin, bulan Ramadan merupakan bulan mereka meninggalkan segala amalan yang jauh daripada Al-Quran.
Sepertimana dengan Imam Malik, beliau akan meninggalkan rutin hariannya meriwayatkan dan mengajar ilmu hadis apabila tiba bulan Ramadan. Ini bertujuan untuk membolehkan beliau menghidupkan detik-detik Ramadan beliau bersama Al-Quran.
Para ulama akan menjadikan bulan Ramadan sebagai bulan untuk mereka mengasah ‘gergaji’ yang sudah tumpul setelah digunakan selama 11 bulan. Inilah bulan mereka mengambil kesempatan untuk bertadabbur Al-Quran.
Membaca Al-Quran itu satu perniagaan yang sangat menguntungkan pada setiap masa. Tetapi dalam bulan Ramadan, Al-Quran mempunyai kedudukan yang sangat tinggi. Sama-samalah kita merebut kesempatan peluang keemasan ini.
Andai ini yang terakhir
Keberkesanan Ramadan berbeza pada setiap orang. Ia bergantung pada tahap kita berusaha dan kemampuan menahan kesulitan untuk mendapatkan rahmat, pengampunan dan keberkatannya.
Andainya Ramadan ini Ramadan yang terakhir kerana tiada sesiapa yang mampu memberi jaminan yang kita akan bertemu lagi dengan Ramadan yang akan datang. Apakah Ramadan kita kali ini sudah benar-benar berkesan? Apakah kita benar-benar boleh memperoleh takwa selepas tarbiah Ramadan? Apakah ada jaminan dosa-dosa kita sudah terampun?
Semaklah kembali amalan kita pada bulan Ramadan kali ini. Pastikan Ramadan ini melayakkan kita memakai jubah takwa; pakaian graduasi yang dijanjikan oleh Allah sejak dahulu. Bukan lagi lapar dan dahaga seperti yang diterima sekian dahulu.