Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Grafiti semakin diterima sebagai seni di Afrika Barat

    CONAKRY – Pada suatu tengah hari, Omar Diaw, yang dikenali dengan nama seninya ‘Chimere’ yang bermaksud kimera dalam bahasa Perancis, menghampiri satu dinding kosong di tepi jalan utama di bandar Guinea dan mula menyembur cat.

    “Mereka tahu siapa saya,” katanya dengan yakin. Walaupun tidak jelas siapa ‘mereka’ yang dimaksudkan, orang awam dan polis tidak mempedulikannya ketika rakan-rakan seninya menurunkan berpuluh-puluh tin cat di tepi jalan Conakry.

    Grafiti telah lama berkembang di tanah kelahirannya, Senegal, tempat seni jalanan moden mula berkembang di Afrika Barat. Namun, apabila dia berpindah ke Guinea pada tahun 2018 untuk meneroka tempat baharu, katanya seni sebegitu hampir tidak wujud.

    “Ketika itu orang menganggap grafiti sebagai vandalisme,” katanya.

    Untuk memenangi hati masyarakat, Diaw mengambil pendekatan lembut dengan menggunakan grafiti sebagai kempen kesedaran awam. Salah satu kempennya yang pertama ialah meningkatkan kesedaran tentang langkah pencegahan COVID-19.

    Artis grafiti, Omar Diaw berjalan melintasi salah satu muralnya di dinding jalan di Conakry, Guinea. – AP
    Sebuah mural yang menggambarkan seorang lelaki tersenyum bersama seekor gajah, dilukis oleh Omar Diaw. – AP
    Omar Diaw bergambar bersama salah satu mural yang dilukisnya di Conakry, Guinea. – AP
    Sebuah mural yang menggambarkan Haile Selassie, dilukis oleh Omar Diaw di sebuah tembok jalan. – AP
    Penunggang motosikal melalui sebuah mural yang menggambarkan seorang wanita berkarisma di dinding jalan di Conakry, Guinea. – AP
    Sebuah mural yang menggambarkan Haile Selassie, dilukis oleh Omar Diaw di dinding jalan. – AP

    “Kami perlu menarik masyarakat,” katanya.

    Bandar pelabuhan Conakry kini menghadapi proses pembandaran pesat. Grafiti hasil tangan Diaw telah menjadi sebahagian yang tidak dapat dinafikan daripada landskap konkrit dan sesak bandar itu.

    Gambar gergasi ciptaannya telah menampilkan pemuzik terkenal Guinea dan tokoh kemerdekaan Afrika yang ketika ini menjulang lebih tinggi daripada lori-lori sarat muatan yang lalu di depannya. Di salah satu potret pejuang penentangan Afrika Barat, Samory Toure, tergantung pakaian yang dijemur.

    Tanda kumpulan grafiti yang diasaskannya, Guinea Ghetto Graff, kini boleh dilihat di pelbagai mural di seluruh bandar.

    Grafiti seperti yang dikenali hari ini bermula pada tahun 1960an dan 1970an di Amerika Syarikat (AS). Ia tiba di Afrika Barat melalui Dakar, Senegal, pada tahun 1988 apabila artis grafiti pertama rantau itu, Amadou Lamine Ngom, mula melukis di dinding kota tersebut.

    Dikenali dengan nama seninya ‘Docta’, Ngom bersama sekumpulan artis lain mendapat tawaran pada tahun berikutnya untuk melukis mural dalam kempen kesedaran membersihkan jalan-jalan di Dakar.

    Ngom, kini berusia 51 tahun, berkata pada awalnya dia hanya membuat grafiti pada waktu malam, kecuali untuk kempen rasmi. Namun kemudian dia mengubah pendekatannya.

    “Saya memutuskan untuk melakukannya pada waktu siang,” katanya. “Agar tidak meniru apa yang berlaku di AS, Eropah atau tempat lain. Untuk mencipta grafiti yang menyerupai realiti Afrika, dengan mengambil kira realiti dan nilai kita.”

    Ngom, yang kemudian menjadi mentor kepada Diaw ketika remaja, berkata masyarakat mula menghormati karya seni awam itu kerana ia mencerminkan kehidupan dan pengalaman mereka sendiri.

    Dengan sokongan masyarakat, “pihak berkuasa tidak mempunyai pilihan,” kata Ngom.

    Kini, grafiti di Senegal semakin lantang, menjadi sebahagian daripada mesej politik dalam protes anti-kerajaan. Di Guinea pula, grafiti Diaw menumpukan isu seperti migrasi.

    Diaw berkata, Gabenor Conakry menyokong sebahagian besar kerjanya dan memberinya kebebasan penuh untuk melukis di mana-mana sahaja.

    Ketika karya terbarunya di tepi jalan semakin siap, orang yang lalu berhenti untuk mengagumi potret pemimpin tentera Guinea, Jeneral Mamadi Doumbouya, yang mengambil alih kuasa dalam rampasan kuasa pada tahun 2021.

    Seorang pemandu berusia 22 tahun, Ousmane Sylla berkata, dia sudah biasa dengan lukisan gergasi Diaw berhampiran lapangan terbang Conakry.

    “Ia mengingatkan kami kepada pemuzik Guinea lama. Ia mengingatkan kami kepada sejarah,” katanya. “Grafiti baik untuk Afrika, baik untuk semua orang. Saya sukakannya dan ia telah mengubah wajah bandar kami.”

    Langkah seterusnya mungkin ialah menarik lebih ramai artis lain. “Saya benar-benar ingin melihat lebih ramai wanita terlibat dalam bidang ini, kerana orang kata grafiti hanya untuk lelaki,” kata salah seorang wanita yang jarang dilihat dalam dunia grafiti Guinea, Mama Aissata Camara. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda