Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JULAI – Sebagai usaha berterusan untuk menyokong dan mempromosikan kegiatan sukan di negara ini, Syarikat Grand Motors Sdn Bhd hari ini, bermurah hati menaja jersi kepada Pasukan Anak Brunei Cycling Team (ABCT).
Majlis yang diadakan di Bilik Pameran Kia, Beribi tersebut menandakan dukungan berterusan oleh Syarikat Grand Motors Sdn Bhd bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran orang ramai terhadap gaya hidup yang sihat seperti riadah sukan berbasikal.
Penyerahan jersi tersebut telah disampaikan oleh Pengurus Jualan Grand Motors Sdn Bhd, Jacqueline Koh kepada Pengurus Pasukan ABCT, Richard Lingam.
Turut hadir pada majlis penyerahan tajaan tersebut petang tadi ialah Pengarah Eksekutif Grand Motors Sdn Bhd, Haji Shaiful Rizal bin Pehin Dato Dr Haji Ahmad dan Pengurus Pemasaran Grand Motors Sdn Bhd, Precious Casao.
Sementara itu jurulatih ABCT, Awang Reduan bin Yusop semasa ditemui pihak media berterima kasih atas sokongan dan tajaan yang diberikan oleh Syarikat Grand Motors Sdn Bhd sejak tahun 2017 dan 2018.
Awang Reduan seterusnya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Syarikat Grand Motors Sdn Bhd kerana berkesudian menaja pasukan mereka sekali gus berharap agar pasukannya dapat meningkatkan prestasi dan memperoleh kejayaan.
Dengan adanya tajaan berkenaan, adalah diharapkan agar para ahli ABCT akan mendapat semangat untuk bersaing dan berusaha dengan lebih gigih lagi.
