Thursday, December 5, 2024
30 C
Brunei

    Berita Terkini

    Grand Prix F1 Belanda berakhir 2026

    THE HAGUE, 4 DIS – Grand Prix F1 Belanda yang menjadi acara utama bagi juara dunia Max Verstappen akan berakhir pada 2026, kata penganjur hari ini.

    “Kami telah memutuskan untuk mengakhiri dengan gemilang melalui dua lagi Grand Prix Belanda yang luar biasa pada 2025 dan 2026,” kata pengarah GP, Robert van Overdijk dalam satu kenyataan.

    Grand Prix Belanda telah diadakan sejak 2021 di kawasan peranginan pantai Zandvoort yang terletak di pesisir Laut Utara.

    Ratusan ribu peminat F1 Belanda yang memakai baju berwarna oren memenuhi bandar kecil itu untuk memberi sokongan kepada wira mereka, Verstappen, yang hingga tahun ini, memenangi setiap perlumbaan di trek kebangsaannya.

    Edisi Grand Prix F1 Belanda tahun ini menyaksikan sedikit kemunduran dalam perjalanan Max Verstappen ke arah Kejuaraan Dunia, apabila pelumba itu mengharungi hujung minggu yang sukar dalam cuaca yang berubah-ubah, tewas kepada Lando Norris dari McLaren.

    Pengarah GP, Robert van Overdijk, memberitahu penyiar nasional NOS bahawa terdapat pelbagai pilihan diberikan untuk meneruskan penganjuran GP Belanda, ketika Formula Satu berusaha untuk berkembang ke pasaran baharu.

    “Kami boleh bergilir dengan litar-litar lain, ada juga kemungkinan untuk terus diadakan setiap tahun,” katanya.

    Namun, akhirnya keputusan diambil untuk menamatkan perlumbaan selepas edisi 2026, tambah Van Overdijk. – AFP

    Pemandu Red Bull, Max Verstappen dari Belanda, mendahului perlumbaan selepas permulaan Grand Prix F1 Belanda di litar Zandvoort, Belanda, pada 25 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda