TOKYO, 25 OGOS – Atlet berbasikal Australia, Paige Greco berjaya merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo hari ini, ketika sukan tersebut diadakan sehari selepas hari pembukaan.
Meskipun temasya sukan tersebut ditunda selama setahun dan dibayangi dengan ketidaktentuan COVID-19, rekod mula dipecahkan hampir serta merta dalam acara berbasikal dan renang ketika kejohanan semakin hangat.
Greco berjaya memungut emas dan memecah rekod dalam litar C1-C3 kelas 3,000 meter acara perseorangan, menewaskan atlet dari China, Wang Xiaomei.
Atlet Australia memecahkan rekod yang dicatatkannya sendiri dan catat hampir lapan saat untuk merekodkan kelayakan terpantas pada acara sebelah pagi tersebut.
Dia kemudian berjaya mengurangkan masa tersebut untuk mencatatkan masa 3 minit 50.815 saat pada pusingan akhir dua jam kemudian.
Pemenang pingat perak, Wang, yang sebelum ini pernah memintas rekod dunia yang sebelum ini dipegang oleh Greco, gagal menyaingi kehebatan atlet Australia tersebut, menamatkan perlumbaan lebih empat saat di belakang.
Sementara itu dalam acara lain, perenang Britain, Reece Dunn berjaya mencipta rekod baharu Paralimpik dalam acara 100m gaya kupu-kupu kategori S14.
Sukan tersebut secara rasmi dibuka semalam oleh Maharaja Naruhito, bersama ketua Jawatankuasa Antarabangsa Paralimpik, Andrew Parsons yang berkesempatan memberikan penghormatan kepada atlet yang berjaya ke Tokyo.
“Ramai yang meragukan bahawa hari ini akan berlangsung, ramai yang menganggap ia adalah mustahil, namun hasil usaha ramai pihak, acara sukan transformatif di dunia bakal dimulakan,” katanya. – AFP
