ATHENS, 6 DIS – Pihak berkuasa di Greece kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan amaran tahap tinggi telah dikeluarkan hari ini sekiranya perhimpunan tahunan bagi memperingati insiden penembakan polis terhadap seorang remaja lelaki 11 tahun lalu sekali lagi bertukar menjadi ganas.
Beribu-ribu polis sedang dikerahkan di ibu negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya demonstrasi bagi memperingati insiden terhadap Alexandros Grigoropoulos, 15, yang dibunuh oleh seorang pegawai pada 6 Disember 2008.
Perhimpunan tersebut telah diadakan hampir setiap tahun sejak insiden itu dan sering menyebabkan pertembungan ganas antara pasukan keselamatan dan penunjuk perasaan.
Pada waktu yang sama, kejadian penembakan itu juga menyebabkan berlakunya rusuhan di seluruh Greece, dengan kemarahan yang dipamerkan oleh warga setempat terhadap polis dan skandal rasuah yang membebankan kerajaan konservatif semakin memburuk.
“Setiap 6 Disember akan menjadi simbol pemberontakan terhadap keganasan polis di Greece,” kata Sotiris Chtouris, seorang profesor sosiologi di Universiti Aegean.

Pegawai peronda yang dipercayai menembak Grigoropoulos, Epaminondas Korkoneas, mendakwa dia bertindak sedemikian untuk mempertahankan dirinya ketika melepaskan tiga tembakan terhadap anak-anak muda yang melemparkan objek kepada mereka di daerah Bohemia di Exarchia.
Grigoropoulos terkena peluru di bahagian dada dan kemudiannya meninggal dunia sebelum dia dibawa ke hospital.
Selama lebih dari sebulan, beratus-ratus perniagaan telah terjejas akibat rusuhan dan protes yang berlaku di Athens dan bandar-bandar lain di luar oleh pelajar sekolah, universiti, kesatuan dan parti sayap kiri.
“Ini adalah rusuhan yang terakhir,” seorang penunjuk perasaan, ahli sosiologi 25 tahun, Anastassia Kotzamani, memberitahu AFP pada masa itu.
“Kami telah menamatkan pengajian kami, tidak ada kerja dan satu-satunya pilihan kami ialah meninggalkan negara ini,” katanya. – AFP