ATHENS, 19 APRIL – Greece berkata hari ini pelawat dari Kesatuan Eropah (EU) dan lima negara lain yang sudah menerima vaksin sepenuhnya atau mempunyai ujian COVID-19 negatif tidak perlu menjalani kuarantin selepas tiba di negara itu.
Pelawat dari EU, Britain, Amerika Syarikat, Israel, Serbia dan Emiriah Arab Bersatu tidak tertakluk kepada kuarantin seminggu, kata pihak berkuasa penerbangan awam dalam satu kenyataan.
Pelawat mesti menunjukkan bukti mereka sudah menerima vaksin sepenuhnya atau ujian negatif COVID-19 dalam tempoh 72 jam sebelumnya.
Kuarantin akan dibatalkan mulai hari ini tetapi sekatan lain ‘untuk penerbangan domestik atau antarabangsa akan berkuat kuasa sehingga 26 April,’ kata pihak berkuasa penerbangan.
Pengumuman keluar meskipun peningkatan dalam kes koronavirus dalam negara, dengan puluhan kematian dan lebih 1,500 jangkitan baharu dicatat sehari.
Sekatan virus masih dikenakan di Greece, dengan perjalanan penting sahaja dibenarkan di antara rantau.
Greece tidak sabar-sabar untuk membuka semula sektor pelancongannya yang terjejas teruk dan telah menambah pengeluaran vaksin dalam harapan membangunkan ‘dinding imuniti’ untuk penduduk, menurut kerajaan.
Pandemik telah menjejas teruk pelancongan di benua itu, termasuk Greece, dengan kebanyakan negara menutup sempadan untuk perjalanan tidak penting.
Kesatuan Eropah pula berkata ia ingin melancarkan pasport vaksin untuk pelawat, walaupun rancangan tersebut masih belum diluluskan. – AFP
