ATHENS, 27 FEB – Greece akan menghantar ‘peralatan pertahanan’ dan bantuan kemanusiaan kepada Ukraine, kata pejabat perdana menteri hari ini, ketika Athens secara rasmi membantah kematian 10 etnik Yunani semasa pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Pejabat Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis (gambar-AFP) berkata dua pesawat pengangkutan tentera akan berlepas ke Poland dengan ‘peralatan pertahanan’ ke Ukraine, tanpa menambah butiran lanjut tentang apa yang akan dibawa oleh mereka.
Penghantaran bantuan kemanusiaan yang berasingan juga akan dihantar pada hari yang sama, diiringi oleh Timbalan Menteri Pertahanan Nikos Hardalias, tambah pejabat perdana menteri.
Pada hari ini juga, kementerian luar Greece berkata ia telah menyampaikan aduan rasmi kepada duta Rusia berhubung serangan yang berlaku kelmarin yang dikatakan telah membunuh 10 anggota komuniti etnik Yunani yang berjumlah 100,000 orang di Ukraine.
Sementara itu, Greece kelmarin telah menuduh Rusia melakukan ‘pembunuhan’ berhubung kematian di perkampungan Sartana dan Buhas di tenggara Ukraine.
“Kementerian menyatakan rasa jijiknya terhadap serangan ketenteraan tanpa provokasi ini dan menyeru Rusia supaya menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menghentikan serangan terhadap penduduk awam,” kata kementerian luar dalam satu kenyataan.
Mitsotakis menulis dalam lama Twitternya kelmarin bahawa 10 orang awam yang tidak bersalah berasal dari Greece telah terbunuh oleh serangan udara Rusia berhampiran Mariupol.
Enam lagi etnik Yunani, termasuk seorang kanak-kanak, turut cedera, kata kementerian luar.
Datuk Bandar Sartana telah menggesa pemindahan ke bandar yang berhampiran dengan Mariupol, tambahnya.
Kedutaan Rusia di Athens menegaskan bahawa Moscow secara eksklusif hanya menyasarkan unit dan pemasangan tentera di Ukraine. – AFP