PARIS, 28 SEPT – Perancis dan Greece hari ini menandatangani satu perjanjian berbilion euro untuk Athens membeli tiga kapal perang Perancis, dalam perjanjian yang dialu-alukan Presiden Emmanuel Macron sebagai rangsangan besar untuk pertahanan Kesatuan Eropah.
Memorandum persefahaman untuk pembelian kapal frigat Belharra dimeterai kurang dua minggu selepas Perancis berang dengan pembatalan kontrak oleh Australia untuk membeli kapal selam Perancis sebagai sebahagian daripada pakatan pertahanan baharu dengan Britain dan AS.
Macron berkata selepas bertemu dengan Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis di Istana Elysee bahawa Greece akan membeli tiga frigat dari Perancis sebagai sebahagian daripada ‘perkongsian strategik’ di antara kedua-dua negara untuk mempertahankan kepentingan bersama mereka di Mediterranean.
Perjanjian menandakan ‘langkah pertama ke arah autonomi strategik Eropah,’ kata Macron.
Beliau menggelar keputusan Athens untuk membeli kapal Belharra ‘satu tanda keyakinan’ dalam industri pertahanan Perancis, ke atas persaingan dari kumpulan AS Lockheed Martin, menurut laporan media.
“Hari ini adalah hari bersejarah untuk Greece dan Perancis. Kami telah memutuskan untuk mempertingkat kerjasama pertahanan dua hala kami,” kata Mitsotakis.
Beliau berkata perjanjian membabitkan ‘sokongan bersama’ dan ‘tindakan bersama pada semua peringkat’ serta pilihan untuk membeli frigat keempat.
Butir-butir kewangan mengenai nilai perjanjian tidak didedahkan, tetapi kapal berkenaan dijangka dihantar mulai tahun 2024. – AFP
