ATHENS, 25 JULAI – Greece bersedia menghadapi gelombang baharu suhu melambung tinggi hari ini, dengan kebakaran hutan berlaku di dua buah pulau yang terkenal dengan pelancongan.
Di ibu kota Athens, suhu dijangka melambung hingga 41 darjah Celsius, dan mencecah 44 darjah Celsius di tengah Greece, menurut ramalan kaji cuaca kebangsaan, EMY.
Cuaca yang sangat panas berlaku selepas hujung minggu panas terik dan selepas ribuan penduduk tempatan dan pelancong menyelamatkan diri daripada kebakaran hutan di Rhodes dan Corfu, dan perdana menteri memberi amaran negara itu ‘sedang berperang’ dengan kebakaran hutan.
Suhu mencecah 46.4 darjah Celsius di Gythio, selatan semenanjung Peloponnese pada Ahad, meskipun ia tidak mencapai suhu paling panas pernah direkodkan iaitu 48 darjah Celsius.
Pihak berkuasa telah memindahkan hampir 2,500 orang dari kepulauan Corfu kelmarin, selepas puluhan ribu orang sudah melarikan diri daripada kebakaran hutan di kepulauan Rhodes, dan kebanyakan pelancong lari ketakutan dari kediaman mereka semasa pemindahan.
Lebih 260 orang anggota bomba masih bergelut mengawal kebakaran pada hari kelapan berturut-turut di Rhodes, yang dibantu oleh dua buah helikopter dan dua buah pesawat.- AFP
