ATHENS, 21 JULAI – Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis, hari ini mengumumkan kerajaan beliau akan mewujudkan dua kawasan perlindungan marin baharu, sebagai memenuhi janji yang dibuat pada persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai lautan pada Jun lalu.
Kawasan perlindungan baharu itu yang terletak di Laut Ionia dan Kepulauan Cyclades Selatan di Laut Aegea, akan menjadi antara kawasan marin terlindung terbesar di seluruh Mediterranean, katanya dalam satu kenyataan video yang disampaikan dalam bahasa Inggeris.
Perdana Menteri memaklumkan aktiviti tangkapan ikan dasar laut menggunakan pukat tunda, yang memberi kesan besar terhadap ekosistem laut, akan dilarang sepenuhnya dalam rizab marin baharu serta di semua kawasan marin terlindung di Greece menjelang tahun 2030. Itu menjadikan Greece sebagai negara pertama di Eropah yang melaksanakan langkah pemeliharaan laut secara menyeluruh seperti itu.
Secara global, aktiviti menangkap ikan di kawasan marin yang dilindungi masih dibenarkan, termasuk bot nelayan yang menggunakan pukat dasar laut, yang menyapu dasar laut dengan jaring besar berbentuk corong dan memberikan kesan yang amat besar kepada habitat laut.
Mitsotakis berkata beliau telah berjanji untuk menghormati warisan marin unik milik Greece semasa Persidangan Lautan PBB di selatan Perancis bulan lalu dan untuk melindunginya demi generasi akan datang.
“Hari ini, saya menunaikan janji itu dengan menubuhkan dua taman negara marin baharu…kerana apabila kita melindungi lautan kita, kita sebenarnya melindungi masa depan kita sendiri,” katanya.
Greece terletak di bahagian timur Mediterranean, mempunyai kira-kira 13,600 kilometer garis pantai dan ratusan pulau yang membentuk kawasan marin yang luas dan kaya dengan biodiversiti.
Greece, Brazil dan Sepanyol, telah menggunakan platform Persidangan Lautan PBB di Nice untuk mengumumkan rizab marin baharu dan pelbagai langkah untuk mengharamkan pukat tunda dasar laut, sebagai usaha melindungi hidupan marin secara lebih berkesan. – AFP


