Greece hadapi ‘bencana ekologi’

ATHENS, 12 OGOS – Ratusan anggota bomba bergelut hari ini untuk membendung kebakaran baharu di kawasan Greece, sehingga perdana menterinya menyifatkannya sebagai ‘bencana ekologi terbesar dalam beberapa dekad’.

Bagaimanapun hujan semalaman di beberapa kawasan dan suhu rendah kelihatannya telah meredakan situasi itu selepas dua minggu kebakaran memusnahkan, dan Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis berkata ‘kita boleh lebih optimis hari ini’ daripada hari sebelumnya.

Gelombang panas paling teruk Greece dalam beberapa dekad telah memarakkan lagi kebakaran yang telah memusnahkan lebih 100,000 hektar hutan dan tanah ladang, kemusnahan kebakaran hutan paling buruk negara itu sejak 2007, kata Sistem Maklumat Kebakaran Hutan Eropah hari ini.

Kebakaran itu telah mengorbankan tiga orang, ratusan tinggal sehelai sepinggang, memaksa ribuan melarikan diri dan menyebabkan ekonomi dan alam sekitar terjejas.

Greece hanya satu daripada beberapa buah negara di rantau Mediterranean yang telah dilanda oleh musim kebakaran yang pihak berkuasa salahkan ke atas perubahan iklim.

Mitsotakis hari ini menggambarkan ‘kebakaran mega’ sebagai ‘bencana ekologi terbesar dalam beberapa dekad.”

“Krisis iklim berlaku di sini…dan ia memberitahu kami yang semuanya harus diperbetulkan,” katanya kepada wartawan, menekankan kebakaran memusnahkan lain di Turki, Itali dan Algeria.

Perdana menteri berkata anggota bomba, sukarelawan dan penduduk tempatan telah menyelamatkan rumah, perniagaan yang ‘tidak terhitung jumlahnya’, bagaimanapun puluhan hartanah juga terjejas.

Mitsotakis berkata 150 buah rumah telah musnah di Athens pada minggu lalu, sementara jumlah itu meningkat di pulau Evia, yang memperhitungkan kira-kira lebih separuh daripada kawasan yang terbakar seluruh negara. – AFP

Beberapa ekor kambing dilihat di kawasan hutan terbakar dekat Kampung Krioneritis di pulau Evia pada 12 Ogos. – AFP