MOSCOW, 22 OGOS – Greece menghantar dua buah pesawat pemadam kebakaran ke Portugal bagi membantu memadamkan kebakaran hutan di negara itu, menurut Kementerian Krisis Iklim dan Perlindungan Awam, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Greece, atas semangat solidariti dan sokongan bersama terhadap negara yang terjejas, memberikan bantuan dalam operasi memadam kebakaran hutan di Sepanyol dan Portugal melalui Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah (EU) (UCPM). Secara khusus, dua pesawat pemadam kebakaran Canadair CL-415 dihantar segera ke Portugal untuk memperkukuh operasi pemadaman kebakaran dari udara,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan akhbar.
Pihak berkuasa Sepanyol telah menerima tawaran Greece untuk menghantar unit khas pemadam kebakaran ke Sepanyol bagi memadamkan kebakaran hutan.
Portugal bergelut memadam kebakaran sejak beberapa minggu lalu berikutan cuaca panas melampau dan negara itu kekal dalam tahap berjaga-jaga yang tinggi. – Bernama


