ATHENS, 23 JUN – Pihak berkuasa Greece awal pagi tadi, mengeluarkan arahan pemindahan baharu bagi dua kawasan berhampiran bandar utama di pulau Aegean timur, Chios, ketika pasukan bomba masih bergelut mengawal kebakaran hutan besar yang sedang marak di pinggir bandar tersebut untuk hari kedua berturut-turut.
Menurut jabatan bomba, seramai 190 anggota bomba sedang bertugas memadamkan kebakaran pada Isnin, dibantu oleh 35 kenderaan, lima helikopter dan dua pesawat pengebom air. Usaha memadamkan api terjejas akibat angin kencang yang melanda kawasan itu sejak kelmarin.
Amaran kecemasan telah dihantar ke telefon bimbit penduduk di kawasan terlibat, menggesa mereka untuk berpindah dari sejumlah 16 kampung, penempatan dan kawasan kejiranan di pinggir bandar Chios sejak kebakaran mula tercetus kelmarin.
Kebakaran tersebut dilaporkan bermula di tiga lokasi berasingan. Pihak berkuasa telah menghantar pasukan khas siasatan pembakaran dari jabatan bomba ke pulau itu bagi menyiasat punca kejadian.
Kebakaran hutan adalah kejadian yang kerap berlaku di Greece semasa musim panas yang panas dan kering, namun pihak berkuasa menyatakan bahawa perubahan iklim telah menyebabkan kebakaran menjadi lebih besar dan kerap berlaku. – AP
