ATHENS, 28 MEI – Greece hari ini melancarkan sijil kesihatan digitalnya yang bertujuan untuk membuka semula sektor pelancongan yang dilanda koronavirus dan sebahagian daripada skim EU untuk membuka semula sempadan negara.
Sijil itu akan dibuka untuk semua warga EU bermula 1 Julai selewat-lewatnya, walaupun Greece akan memulakan program lebih awal dari itu, kata Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis.
Ia sangat dinantikan oleh negara-negara yang bergantung kepada pelancongan Eropah, dengan sijil itu dipersetujui dan dilancarkan dengan cepat dalam hanya dua bulan, kata Naib Presiden EU, Margaritis Schinas yang juga seorang ahli politik Greece.
Sijil itu adalah “contoh yang menunjukkan bagaimana Eropah dapat bertindak”, katanya semasa pengumuman di Athens, sambil menambah Greece adalah antara negara pertama di Eropah yang melancarkan pas kesihatan. Ia dirancang untuk memenuhi standard EU mengenai privasi dan keselamatan, ‘supaya orang Eropah dapat menggunakannya tanpa rasa takut’, katanya.
Bersama dengan Presiden Majlis Eropah Charles Michel, Schinas berada di Athens untuk memperingati ulang tahun ke-40 kemasukan Greece ke dalam komuniti Eropah. Minggu lalu, Parlimen Eropah dan negara anggota EU mengesahkan sijil itu, dengan Presiden Suruhanjaya Ursula von der Leyen mengatakan bahawa ia akan menjadi ‘elemen penting untuk meneruskan perjalanan yang selamat dan mudah ke seluruh EU’.
Sijil tersebut mengandungi kod QR yang menunjukkan bahawa pemegangnya telah divaksinasi dan telah diuji negatif untuk koronavirus. Perjanjian EU akan menghalang negara anggota mengenakan sekatan perjalanan seperti swab atau kuarantin, kecuali ‘diperlukan’ untuk melindungi kesihatan awam.
“Ini sangat penting bagi Greece sebagai negara pelancongan, tetapi juga penting bagi setiap negara EU kerana apa yang ingin kita lakukan adalah mengembalikan kebebasan bergerak,” kata Mitsotakis.– AFP
