ATHENS, 23 JULAI — Kerajaan Greece mengumumkan hari ini rancangan segera bagi membaik pulih pengurusan sumber air negara susulan suhu terus meningkat semasa gelombang haba selama seminggu.
Perdana Menteri, Kyriakos Mitsotakis berkata kabinet telah membincangkan usaha untuk menjadikan syarikat air lebih ‘berdaya maju’, dengan menyatakan bahawa rizab di Athens turun 50 peratus berbanding tiga tahun lalu.
Antara langkah yang bakal diambil termasuk perluasan penggunaan teknologi penyahgaraman serta penggunaan semula air terawat. Pejabat Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Greece kini berada di kedudukan ke-19 dunia bagi risiko kemarau tertinggi.
Pemerhatian terkini oleh Balai Cerap Kebangsaan Athens memberi amaran bahawa hampir keseluruhan wilayah Greece kini berada pada tahap kemarau luar biasa, susulan suhu tinggi dan hujan yang rendah pada Jun lalu.
Menurut laman meteo.gr, suhu hari ini dijangka mencecah antara 40 hingga 44 darjah Celsius di kawasan pedalaman timur, tengah dan utara serta di pulau-pulau Laut Aegean timur. Di Athens, suhu dicatatkan mencecah 36.3 darjah Celsius sekitar 1:30 petang dan dijangka meningkat kepada 42 darjah Celsius esok.
Sebagai langkah keselamatan, pihak berkuasa Greece telah menutup kawasan bersejarah Acropolis di Athens antara jam 1 tengah hari hingga 6 petang sehingga Jumaat bagi melindungi pelancong dan pengawal keselamatan daripada risiko strok haba.
Kerajaan turut menguatkuasakan larangan kerja luar di beberapa sektor semasa waktu paling panas bagi mengurangkan risiko kesihatan terhadap pekerja. – AFP
