ATHENS, 27 JULAI — Greece hari ini terus berusaha memadamkan kebakaran hutan yang telah memusnahkan kediaman dan mencetuskan pemindahan, dengan bantuan daripada pasukan bomba Czech dan pesawat dari Itali dikerahkan untuk membantu.
Anggota bomba sedang bekerja di lima lokasi kebakaran di kawasan Peloponnese di sebelah barat Athens, serta di pulau-pulau Evia, Kythera dan Crete.
“Ini dijangka menjadi hari yang sukar dengan risiko kebakaran yang sangat tinggi, hampir di seluruh kawasan,” kata jurucakap pasukan bomba, Vassilis Vathrakogiannis, walaupun beliau menambah keadaan kini semakin baik. Pakar kaji cuaca meramalkan angin kencang yang memburukkan kebakaran sebelum ini akan reda hari ini di kebanyakan kawasan.
Namun begitu, mereka memberi amaran di Kythera iaitu sebuah pulau pelancongan terkenal dengan 3,600 penduduk, masih berdepan dengan keadaan angin yang ‘membimbangkan’.
Mesej pemindahan telah dihantar kepada orang ramai di pulau itu hari ini, yang terletak di hujung tenggara Peloponnese, ketika api terus merebak tanpa kawalan.
Timbalan Datuk Bandar Kythera, Giorgos Komninos, memberitahu saluran berita ERT separuh dari pulau itu telah hangus terbakar.
“Rumah, sarang lebah dan pokok zaitun telah terbakar,” katanya. – AFP
