Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MAC – Dalam semangat berkongsi rezeki bersama pada bulan Ramadan yang mulia ini, Green Brunei telah berjaya menyediakan 100 pek hidangan yang disumbangkan kepada dua buah masjid pada 21 Mac lalu.
Pek-pek makanan itu telah diagihkan sama rata di Masjid Lambak dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan, khususnya bagi para jemaah untuk berbuka puasa.
Makanan yang terdiri daripada nasi, ayam dan sayur-sayuran itu telah disediakan oleh para kakitangan Green Brunei dan golongan sukarelawan dalam memastikan penerima sumbangan pek makanan itu dapat berbuka puasa dengan makanan yang sihat dan seimbang.
Melalui inisiatif ini, Green Brunei terus komited untuk memupuk budaya kemurahan hati dalam masyarakat.
Green Brunei turut berharap dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai individu dan organisasi untuk menyumbang, mengukuhkan semangat belas kasihan dan perpaduan sepanjang Ramadan dan juga dalam kehidupan harian.