Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Green Brunei memulakan 2023 dengan menjemput orang ramai untuk menyertai Kempen Kitar Semula pada 5 Februari depan di tingkat bawah, kawasan letak kereta Kontena Park, mulai pukul 9 pagi hingga 1 petang.
Barangan yang diterima termasuklah kertas, surat khabar, kotak, besi yang telah dibersihkan dan dikosongkan serta sisa elektronik (peralatan komputer). Kempen kitar semula ini tidak menerima plastik, gelas, styrofoam atau kertas jenis berkilat.
Kempen bertujuan untuk mengajar orang ramai tentang pembuangan sisa yang betul sambil menyokong usaha Sekretariat Peruba-han Iklim Negara Brunei Darussalam (BCCS) dalam mengurangkan sisa pepejal sebanyak 1 kilogram setiap orang dalam sehari menjelang 2035.
Setakat ini, Green Brunei telah berjaya mengumpul sebanyak 152,100kg barang kitar semula sejak 2014. Dengan bekerjasama, alam sekitar akan dapat dilindungi seterusnya dapat membina masa depan yang lebih bersih dan hijau bagi generasi akan datang.
Sehubungan itu, orang ramai bolehlah melawati akaun Instagram Green Brunei @GreenBrunei atau menghubungi 8242229 untuk pertanyaan dan maklumat lanjut.