PAJU, 21 OKT – Pemain golf Australia, Hannah Green, berjaya mengekang kebangkitan lewat pemain Perancis, Celine Boutier, untuk memenangi Kejohanan LPGA BMW Wanita di Korea Selatan, kelmarin.
Green memulakan hari terakhir dengan kelebihan dua pukulan, namun Boutier membuat lima birdie dalam tujuh lubang terakhir untuk mencatat enam bawah par 66 dan mendahului dengan keseluruhan 18 bawah par di Seowon Valley Country Club.
Birdie Green pada lubang ke-17 membantunya menamatkan saingan dengan 71 pukulan, membawa keseluruhan 19 bawah par 269 dan meraih gelaran ketiganya tahun ini.
“Pukulan saya dilakukan dengan baik, dan apabila putt saya menjadi, ia betul-betul memuaskan,” kata pemain berusia 27 tahun itu.
“Tapi masih ada empat atau lima kejohanan lagi untuk tahun ini, jadi saya mahu terus bekerja keras dan menempatkan diri dalam posisi seperti ini.”
Kejayaan tersebut merupakan gelaran keenam LPGA bagi Green, yang pernah menjuarai Kejuaraan PGA Wanita pada 2019.
Sementara itu, Boutier, yang berusia 30 tahun dan menduduki tempat kesembilan bersama di LPGA Shanghai minggu lalu, berkata, “Saya mempunyai banyak peluang di hadapan (sembilan lubang) tetapi saya tidak dapat memanfaatkannya. Di belakang, saya berjaya memukul beberapa bola dengan lebih tepat dan itu memberi keyakinan kepada saya.”
Pemain Thailand, Channettee Wannasaen, turut memberi saingan dengan catatan empat bawah par pada hari terakhir.
Pemain berusia 20 tahun itu mencatat empat birdie dan satu eagle dalam sembilan lubang pertama untuk menduduki puncak kedudukan.
Namun, cabarannya merosot selepas melakukan dua bogey dalam sembilan lubang terakhir.
Juara Olimpik, Lydia Ko dari New Zealand, menamatkan saingan dengan enam pukulan di belakang Green dengan keseluruhan 13 bawah par. Ko berada hampir dengan kelompok pendahulu pada hujung minggu tetapi ketinggalan selepas mencatatkan 71 pukulan pada dua hari terakhir. – AFP