ROM, 24 JUN – Greenpeace kelmarin menyertai siri protes kecil-kecilan di Venice bagi membantah majlis perkahwinan pengasas Amazon, Jeff Bezos dan Lauren Sanchez yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Awal pagi kelmarin, enam orang penunjuk perasaan mengibarkan kain rentang gergasi di Dataran St Mark yang berbunyi, “Jika awda boleh sewa Venice untuk majlis perkahwinan, awda juga boleh bayar cukai lebih.”
Polis tempatan segera bertindak pantas melipat dan membawa kain rentang itu pergi.
Tunjuk perasaan tersebut menyusuli beberapa inisiatif anti-Bezos minggu lalu termasuk kain rentang yang digantung dari menara loceng San Giorgio, satu lagi dari Jambatan Rialto yang terkenal, serta poster-poster yang dilekatkan di sekitar bandar membantah perkahwinan tersebut dan kesan pelancongan berlebihan di Venice.
Gerakan ‘No Space for Bezos’ – permainan kata-kata yang juga merujuk kepada penerbangan angkasa Lauren Sanchez baru-baru ini – telah mengumpul puluhan pertubuhan tempatan di Venice, termasuk pejuang hak perumahan, aktivis anti-kapal persiaran dan kumpulan pelajar universiti. – AP
