BEIRUT, 19 JUN – Greenpeace hari ini memberi amaran bahawa tumpahan minyak akibat perlanggaran kapal tangki di perairan Emiriah Arab Bersatu (UAE) boleh membawa kesan alam sekitar yang serius, meskipun pihak berkuasa melaporkan hanya terdapat tompokan minyak bersaiz kecil.
Pada Selasa, pengawal pantai UAE menyatakan bahawa mereka telah menyelamatkan 24 kru kapal tangki minyak Adalynn selepas ia berlanggar dengan kapal Front Eagle di Teluk Oman, berhampiran kawasan Khor Fakkan, UAE.
“Greenpeace Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) memberi amaran tentang kemungkinan berlakunya bencana alam sekitar selepas dua kapal tangki minyak mentah berlanggar,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Greenpeace menyatakan imejan satelit menunjukkan terdapat ‘kesan tumpahan minyak besar yang merebak sehingga kira-kira 1,500 hektar dari lokasi pelanggaran.’
Kumpulan itu juga mendakwa Adalynn adalah sebahagian daripada ‘armada usang’ Rusia – iaitu sekumpulan kapal tangki lama yang beroperasi di bawah piawaian keselamatan minimum dan membawa minyak Rusia.
Penganalisis keselamatan mengatakan bahawa armada kapal lama itu digunakan oleh Rusia untuk mengelakkan sekatan antarabangsa yang melarang penjualan minyaknya. – AFP
