Saturday, November 16, 2024
29.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    GreenWave latih generasi baharu petani rumpai laut di AS

    BRANFORD, AMERIKA SYARIKAT – Bren Smith dan organisasinya, GreenWave, membantu membina asas untuk generasi petani rumpai laut di Amerika Syarikat (AS) sambil berusaha membina rangkaian pengeluar dan pembeli.

    Dilihat dari sebuah bot, ladang GreenWave kelihatan biasa – hanya beberapa barisan pelampung putih dan hitam, beberapa ratus meter dari pantai Connecticut.

    Namun, di bawah perairan Atlantik yang gelap, rumpai laut dalam pelbagai warna coklat bergelombang, tergantung dari tali yang diikat antara pelampung kira-kira dua meter ke bawah.

    Tahun lalu, GreenWave, yang tidak menggunakan racun perosak atau racun herba, telah menuai lebih daripada 20 tan metrik rumpai laut dari lokasi tersebut dan satu lagi yang terletak lebih jauh ke timur.

    Walaupun pertanian rumpai laut telah diamalkan selama beberapa dekad di Asia, akuakultur seperti itu adalah fenomena yang agak baharu di AS.

    Bren Smith menuai rumpai laut di ladang rumpai lautnya di Branford, Connecticut pada 1 April lalu. – AFP
    Rumpai laut tergantung pada tali di Thimble Island Ocean Farm, sebuah ladang rumpai laut, di Branford. – AFP
    Rumpai laut tumbuh pada gelendong di makmal GreenWave di New Haven. – AFP
    Pengarah Infrastruktur di GreenWave melihat gametofit rumpai laut di makmal mereka di New Haven. – AFP
    ATAS & BAWAH: Produk yang diperbuat daripada rumpai laut terletak di atas rak di GreenWave. – AFP
    Gambar AFP

    Bren Smith, seorang warga Kanada, bekerja dalam industri perikanan selama bertahun-tahun sebelum beralih kepada akuakultur regeneratif – mengusahakan sumber marin sambil menjaga ekosistem mereka dan bahkan membantu ia berkembang.

    Penyelidikan menunjukkan bahawa rumpai laut menyerap lebih banyak karbon dioksida (CO2) berbanding hutan darat yang mempunyai keluasan permukaan yang sama, sambil menyediakan nutrien dan habitat untuk organisma hidup lain.

    Setelah dituai, rumpai laut digunakan terutamanya dalam produk makanan, kosmetik atau sebagai baja semula jadi.

    GreenWave juga menanam kerang dan tiram, yang membantu membersihkan air laut sekitarnya.

    Namun, cita-citanya melampaui batasan ‘ladang’ lautnya, yang sengaja dikecilkan.

    “Kami melatih generasi petani laut seterusnya,” kata Smith, penulis buku Eat Like a Fish: My Adventure as a Fisherman Turned Ocean Farmer.

    Untuk mencapai itu, GreenWave telah membangunkan pelbagai alat latihan, dari risalah hingga video. Hampir 8,000 orang telah mendapat manfaat daripada latihan tersebut.

    GreenWave membantu “menghubungkan saya dengan ladang dan petani lain dan menyebarkan pengetahuan yang dibina oleh industri kami,” kata Ken Sparta, yang telah menanam rumpai laut di Spartan Farms berhampiran Portland, Maine sejak 2019.

    “Saya tidak pasti di mana industri kami akan berada tanpa mereka, dan ia pasti tidak akan berkembang pada kadar ini,” kata Sparta.

    GreenWave juga memberikan geran permulaan sehingga AS$25,000 bagi setiap projek, hasil daripada gabungan sumbangan swasta dan subsidi awam. Dan ia telah menubuhkan platform Seaweed Source, yang menyatukan pengeluar dengan pembeli, dengan lebih daripada 65 syarikat kini terlibat.

    Yang penting, GreenWave telah membangunkan teknik murah yang membolehkan rumpai laut yang dituai disimpan sehingga 10 bulan, sedangkan rumpai laut biasanya mula merosot selepas hanya beberapa jam.

    “Kami tidak terlibat dalam hal-hal polisi,” kata Smith, sambil berdiri di atas jambatan bot kecilnya. “Ia cuma, seperti, apa yang awda perlu buat untuk berjaya?”

    Walaupun keupayaan terbukti rumpai laut menyerap karbon dioksida, Smith belum mencuba memasukkan kredit karbon ke dalam model perniagaannya.

    “Nampaknya pasaran tidak hebat dalam memberi insentif karbon,” kata Smith, 51, kepada AFP.

    Bersama-sama dengan pengasas bersama GreenWave, Emily Stengel, Smith terpaksa menghadapi cabaran iklim yang semakin panas.

    “Apabila Bren mula menanam rumpai laut, dia akan menanam pada penghujung Oktober,” kata Toby Sheppard Bloch, pengarah infrastruktur di GreenWave.

    “Dan pada 2021, kami menanam pada penghujung Disember… Kami kehilangan dua bulan musim penanaman,” akibat air yang semakin panas.

    Dengan hasil tuaian menjunam, “Kami sedar bahawa sesuatu perlu diubah jika kami ingin terus mengusahakan perairan ini,” kata Bloch.

    GreenWave mendapat idea untuk mewujudkan bank benih – di mana benih boleh mula bercambah sebelum ditanam di laut yang membantu petani mendapatkan dua bulan tambahan untuk tempoh penanaman.

    Mereka menggunakan penyejuk wain elektrik sebagai alternatif murah kepada bilik sejuk makmal.

    Bank benih terbuka kepada mana-mana petani untuk digunakan dan benih boleh disimpan atau diambil pada bila-bila masa.

    “Keyakinan kami adalah, apa yang perlu dilakukan ialah berkolaborasi dan bukan bersaing,” kata Smith, memakai topi hijau kesayangannya.

    “Jom satukan nelayan dan semua orang yang terkesan oleh perubahan iklim dan gerakkan mereka ke arah penyelesaian dan menghidupkan semula lautan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda