Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Greg LeMond terima Pingat Emas Kongres

    WASHINGTON, 10 JULAI – Greg LeMond, juara tiga kali Tour de France menerima Pingat Emas Kongres kelmarin, dalam satu majlis penghargaan di Capitol Hill, Washington.

    Pada majlis penganugerahan itu, Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson memuji LeMond, 64, sebagai ‘contoh teladan dalam kesukanan, kecemerlangan dan integriti’ sewaktu menyampaikan pingat tertinggi yang dianugerahkan melalui akta khas oleh Kongres Amerika Syarikat (AS).

    “Ia merupakan penghormatan tertinggi yang boleh kami berikan di institusi ini,” kata Johnson. “Ia mengiktiraf rakyat yang telah menyumbang kepada pembangunan negara, memperkayakan sejarah kita dan menyuntik semangat kepada rakyat Amerika.”

    LeMond memenangi kejuaraan Tour de France pertamanya yang bersejarah pada tahun 1986.

    Beliau juga memenangi kejuaraan dunia lumba basikal jalan raya pada tahun 1983 dan 1989, mengenang kembali zaman remajanya di AS pada tahun 1970an, di mana beliau tidak tahu pun bahawa berbasikal adalah satu sukan kompetitif sehinggalah beliau melihat sekumpulan pelumba melintasi hadapan rumahnya.

    Greg LeMond ketika menerima Pingat Emas Kongres, baru-baru ini. – AFP

    “Selepas memenangi perlumbaan pertama saya, saya benar-benar taksub dengan sukan berbasikal,” katanya.

    LeMond berpindah ke Eropah pada usia 19 tahun demi mengejar impiannya. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan mendalam terhadap rakan sepasukan, juruteknik dan penyokong yang beliau temui di Perancis.

    “Saya berdiri di sini dengan kesedaran bahawa penghormatan ini bukan milik saya seorang,” kata LeMond. “Ia milik setiap penyokong, setiap ahli keluarga dan semua rakyat luar biasa AS di mana pengorbanan mereka telah membawa kejayaan kepada kehidupan dan kerjaya saya.”

    LeMond kekal sebagai satu-satunya rakyat AS yang sah sebagai juara Tour de France, selepas Lance Armstrong dan Floyd Landis dilucutkan gelaran mereka kerana skandal pengambilan bahan terlarang.

    Sejak bersara, LeMond telah menjadi penyokong kuat dalam usaha membanteras penggunaan bahan terlarang dalam sukan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda