Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Greta Thunberg antara 171 individu dibebaskan dari tahanan Israel

    ATHENS, 6 OKT – Aktivis alam sekitar Sweden, Greta Thunberg, adalah antara 171 individu dari pelbagai negara yang meninggalkan Israel hari ini, selepas mereka ditahan di atas kapal flotila bantuan ke Gaza yang dipintas minggu lalu.

    Kebanyakan, jika tidak semua, individu yang dibebaskan daripada tahanan Israel akan diterbangkan ke Greece sebelum pulang ke negara masing-masing, menurut kenyataan kerajaan terbabit kelmarin.

    Seramai 21 warga Sepanyol pula telah pulang ke negara mereka kelmarin selepas dibebaskan. Namun, masih terdapat beberapa warga asing dalam tahanan Israel, termasuk 28 rakyat Sepanyol.

    Kesemua mereka menaiki kapal Global Sumud Flotilla yang terdiri daripada 45 buah kapal membawa aktivis dan ahli politik yang berhasrat melepasi sekatan Israel bagi menghantar bantuan ke Gaza, di mana Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melaporkan krisis kebuluran kini semakin meruncing.

    Israel mula memintas kapal-kapal tersebut di perairan antarabangsa pada Rabu lalu. Seorang pegawai Israel pada Khamis berkata lebih 400 orang di atas kapal berkenaan telah dihalang daripada sampai ke wilayah Palestin itu.

    Kementerian Luar Itali dan Greece memaklumkan bahawa rakyat mereka yang dibebaskan akan diterbangkan dari Israel ke Athens lewat hari ini.

    Menteri Luar Itali, Antonio Tajani berkata di platform X bahawa 15 warga Itali berkenaan akan diberi bantuan untuk urusan penerbangan pulang ke Itali. – AFP

    Greta Thunberg berjalan bersama kumpulan aktivis pro-Palestin di pelabuhan perkampungan Sidi Bou Said pada 7 September lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda